PENGKALAN CHEPA : Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (gambar) semasa berceramah di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) memberitahu bahawa kerajaan negeri yang didokongi Pakatan Rakyat (Pakatan) di Perak akan bekerja keras untuk menjadi ‘kroni’ kepada rakyat.
“Satu sebab kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Perak adalah kerana mereka pentingkan kroni-kroni sendiri yang mendapat keuntungan besar contohnya menerusi anugerah konsesi balak dan tanah secara tidak adil.
“Kerajaan negeri sekarang pun ada kroni juga di mana kita jadikan rakyat miskin tegar sebagai kroni Pakatan Rakyat di Perak,” katanya dengan disambut sorakan ribuan hadirin yang membanjiri ruang dalam dan luar bangunan PUTIK.Beliau berucap menggantikan tempat Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Kerajaan Perak baru-baru ini melancarkan program membantu 5,000 keluarga miskin tegar dengan diberi sedikit bantuan kewangan, 30 kilogram beras, 5 kilogram gula dan 5 kilogram minyak masak. Program yang membabitkan peruntukan bernilai RM1juta ini diharap dapat meransang kerajaan persekutuan untuk turut lebih prihatin dengan masalah rakyat.
“Apabila kerajaan negeri menunjukkan contoh keprihatinan sebegini, tidak lama lagi kerajaan persekutuan akan tertekan untuk membuat perkara yang sama kepada rakyat keseluruhan. Akhirnya rakyat yang akan mendapat lebih banyak manfaat,” kata Ngeh lagi.
Beliau yang juga exco kanan kerajaan Perak memberi jaminan hubungan rapat antara DAP dan PAS akan berkekalan kerana matlamat kedua-dua parti adalah serupa iaitu mementingkan kebajikan rakyat dan segala usaha yang membawa kebaikan.
Kerajaan Perak didokongi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS sendiri dengan Nizar dari PAS menjadi pilihan sebagai Menteri Besar walaupun parti itu paling sedikit mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri.
“Banyak tohmahan dilemparkan oleh UMNO dan MCA pada ketika dahulu bahawa jika orang Cina undi PAS maka suami kena kahwin empat, ada benda kena ‘potong’ seolah-olah PAS ini sebuah parti hantu.
“Kepada orang Melayu pula diberitahu DAP sebuah parti komunis walaupun sebenarnya kami sebuah parti yang berdasarkan sistem demokrasi sosialis yang merupakan pegangan gabungan politik terbesar di dunia,” jelas Ngeh.
Menurutnya agenda parti seperti DAP adalah memastikan makanan, minuman, kesihatan dan pekerjaan rakyat diutamakan terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek mewah dan ini katanya sama dengan konsep keadilan dan negara berkebajikan yang dibawa PAS melalui dasar Islamnya.
Ngeh adalah pemimpin DAP pertama yang berceramah di Kelantan sejak sekian lama. Ketika ditemui di kediaman Menteri Besar Kelantan di Pulau Melaka , beliau memberitahu hubungan antara PAS dan DAP tidak menghadapi masalah dan mereka akan terus bekerja berlandaskan nilai-nilai sejagat iaitu berdasarkan segala nilai yang murni dan baik.
Katanya, tujuan rombongan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Perak datang ke Kelantan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara pimpinan kerajaan kedua-dua negeri bagi memastikan laporan kurang tepat dari media arus perdana yang boleh mengeruhkan jalinan erat selama ini dapat diatasi.
Rombongan lebih 12 orang yang teridri daripada pimpinan kerajaan dan wakil rakyat Perak telah melawat Kelantan dan membuat kunjung hormat ke atas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 18 dan 19 Mei lalu.