Mari hantar Anwar ke Dewan Rakyat ! (BERITA INI DITULIS SEMINGGU SEBELUM PILIHAN RAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH 26 OGOS 2008)
BUKIT MERTAJAM : Akhbar Melayu arus perdana dakwa 10 ribu. Ada yang ‘baik’ sedikit kata 20 ribu. Media cetak berbahasa Cina seperti Sin Chew Daily di muka depan pula menyebut 30 ribu penyokong Pakatan Rakyat (Pakatan) dan 10 ribu penyokong Barisan Nasional (BN).
Bagi penulis, angka 5 ribu adalah lebih tepat sebagai anggaran bilangan penyokong BN manakala penyokong Pakatan pula melebihi 50 ribu.
Begitulah ramainya orang yang membanjiri kawasan Institut Perguruan Tuanku Bainun pada 16 Ogos baru-baru ini untuk memberi sokongan moral kepada calon masing-masing pada hari penamaan calon.
Kesemuanya basah lencun apabila selesai pengumuman nama-nama calon yang bertanding kerana ‘hujan rahmat’ yang turun.
Sebagaimana diketahui, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61; Adun Seberang Jaya (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat juga berusia 61 tahun akan bertanding pada 26 Ogos merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Daripada tiga pilihan yang ada, pengundi Permatang Pauh yang berjumlah 58, 459 orang dengan 69.4 peratus berbangsa Melayu, 24.5 peratus (Cina) dan 6 peratus India pada hakikatnya tidak mempunyai kesukaran untuk memilih siapa yang patut mewakili mereka di Parlimen.
Kata seorang penyokong Pakatan berbangsa Cina yang ditemui, tarikh 16 September yang diwar-warkan bakal berlaku perubahan kerajaan persekutuan bukanlah angan-angan mereka.
Apa yang penting katanya adalah menghantar Anwar ke Dewan Rakyat melalui proses pilihan raya kecil itu terlebih dahulu.
Walaupun demikian , satu perkara yang dapat dipastikan adalah Hanafi yang ‘timbul’ tiba-tiba dengan aksinya membeliakkan mata ketika bercakap dengan media dan semasa bertakbir di hari penamaan calon sudah tentu agak ‘menakutkan’ untuk diundi.
Menurut Arif pula, katanya, beliau patut diberikan peluang untuk menang kerana Anwar mempunyai satu lagi tempat untuk ditandingi iaitu Parlimen Lembah Pantai yang diwakili anaknya jika kalah di sini.
Persoalannya adakah rakyat sanggup menunggu lebih lama lagi? Tepuk dada , tanya selera, pangkah seadilnya.
(DAN PADA 28 OGOS 2008, ANWAR MENGANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH PADA JAM 10.05 PAGI DI DEWAN RAKYAT DENGAN DISAKSIKAN HAMPIR KESELURUHAN AHLI PARLIMEN PAKATAN RAKYAT MANAKALA DI BLOK KERAJAAN BARISAN NASIONAL PULA KEADAANNYA HAMPIR KEKOSONGAN )