Saturday, July 19, 2008

Kalau saya jadi Presiden...dan Perdana Menteri - Ku Li

Satu sidang media khas antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan wakil media di Kota Bharu telah diadakan pada 17 Julai lalu di kediamannya di Palm Manor iaitu pada hari bermulanya fasa pertama pemilihan Umno peringkat cawangan. Ketua Umno Bahagian Gua Musang berusia 71 tahun ini adalah pencabar terbuka kepada jawatan Presiden dan niatnya untuk merawat parti itu dinyatakan sejak Mac lalu. Beliau perlu melepasi halangan pertama untuk mendapatkan bilangan pencalonan yang diperlukan (sekurang-kurangnya 57) untuk melayakkan beliau bertanding pada pemilihan Umno Disember ini. Untuk rekod, pada tahun 2004, Tengku Razaleigh gagal mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan Presiden setelah tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.


SOALAN : Adakah Tengku masih menawarkan diri untuk menjadi calon presiden?

JAWAPAN : I’m not in the habit of changing my mind. Saya sudah buat keputusan. Do or die.

S : Mesyuarat peringkat cawangan sudah bermula. Apa harapan Tengku?

J : Harapan saya diberi pencalonan. Supaya saya boleh menawar diri sebagai Presiden. Kalau saya tidak dapat pencalonan , saya tidak dapat menawar diri untuk berkhidmat dalam parti kepada rakyat. Ia terpulang kepada pencalonan . kalau dapat bilangan yang cukup mengikut yang ditentukan Perlembagaaan Umno , maka saya boleh menwar duri. Setakat ini saya belum mempunyai kelayakan.

S : Setakat ini bagaimana dengan sokongan?

J : Di peringkat bawah itu adalah sokongan. Di peringkat atas ini kerana tinggi sangat , tidak adalah sokongan (ketawa). Saya pun tidak ‘sampai’ dengan orang tinggi-tinggi ni.

S : Kalau Tengku tawar diri sebagai Presiden, siapa yang dimahukan sebagai regu Timbalan?

J : Saya tidak membuat keputusan apa-apa tentang perkara ini. Saya serah kepada perwakilan Umno untuk mencadangkan calon untuk jawatan Timbalan Presiden. Bagi saya sesiapa yang dipilih perwakilan parti , saya menerima. Saya akan bekerjasama dengannya. Saya sedia menerima sesiapa sahaja yang difikir layak diregukan dengan saya oleh parti.

S : Antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana kuat (sebagai calon Timbalan Presiden)?

J : Saya rasa kedua-dua kuat. Kedua-duanya bagus.

S : Keputusan Majlis Tertinggi (MT) minggu lepas buat keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein seolah-olah melawan keputusan ini.

J : Yang mana satu nak pakai tu. Mereka hadir mesyuarat yang sama tetapi lain pendapat dan pandangan. Hairan juga. Bermesyuarat pun guna Bahasa Melayu. Patutnya fahamlah keputusan yang dibuat. Saya tidak hadir mesyurat , maka saya tidak tahu. Saya berpegang kepada Perlembagaan parti yang mengatasi segala-galanya selagi mana tidak dipinda oleh perhimpunan agung parti , maka itulah yang sah.

MT tidak boleh hendak buat keputusan atau beri sebarang pandangan bertentangan dengan peruntukan dalam perlembagaan parti. Mereka ada di situ pun kerana perlembagaan parti. Mereka mesti menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagaimana ditentukan perlembagaan parti. Saya menawar diri untuk dicalon sebagai presiden parti nuga sebagai peruntukan perlembagaan parti. Kalau kita tidak ikut perlembagaan parti, baik kita masuk hutanlah. Ikut undang-undang binatang. Kita sebagai manusia yang bertamadun, apabila kita berorganisasi seperti Umno maka kita ada perlembagan yang akan menentukan garis, gerakan kita, panduan kita dan sebagainya.

S : Dari segi perlembagaan maknanya jawatan Presiden boleh dipertandingkan?

J : Semua jawatan, sebab ia bermula dengan peruntukan hak ahli. Ahli boleh memilih dan boleh dipilih. Apabila dia diterima sebagai ahli, maka dia boleh bersuara dan boleh menyuara. Jadi itu hak yang ada pada setiap ahli. Dan hak itu dijamin oleh perlembagaan. Pembaharuan parti dilakukan menerusi pemilihan. Sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau MT bergantung kepada syarat-syarat yang ditentukan.

S : Ramai di kalangan pengkritik mengatakan Tengku sudah berusia dan ini menjadi satu ‘setback’ dalam cubaan Tengku bertanding. Keduanya Tengku sudah lama meninggalkan tugas-tugas kerajaan. Apa komen Tengku?

J : Saya tidak mahu komen apa-apa. Semuanya bergantung kepada sama ada seseorang itu mempunyai wawasan untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat. Saya ingat Tun Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga lanjut usia. Lebih daripada umur saya sekarang beliau masih bertugas sebagai Perdana Menteri. Mengapa pula tidak suruh beliau berhenti pada masa itu? Kalau kira orang yang berusia lanjut tidak layak, tetapi Tun Mahathir layak. Sekarang pun walaupun sudah berumur lebih 80 tahun, beliau masih larat bersuara dan ada orang barangkali umur kurang, tidak layak pun untuk berkhidmat dan tidak berfikir dengan betul. Isu umur itu hanya bahan kempen sahaja.

S : Dari segi hubungan Tengku dengan lain-lain Ketua Bahagian, dengan pemimpin-pemimpin lain, adakah rapat seperti sepatutnhya?

J : Saya rapat. Saya rapat dengan semua pemimpin.Tidak ada kerenggangan. Cuma saya tidak bersama mereka kerana saya tidak ke majlis-majlis yang mereka dijemput. Saya bukan dalam kumpulan mereka seperti ahli kabinet. Mereka sering bersama kerana dijemput ke majlis-majklis yang dihadiri menteri kabinet. Saya bukan menteri kabinet. Saya sudah berhenti menjadi Menteri Kabinet sejak 1987. Saya kalah sahaja pertandingan merebut jawaatan Presiden , tiga hari selepas itu saya hantar surat meletakkan jawatan.

S : Adakah amalan menunjukkan siapa pengganti sesuatu jawatan itu mengikut semangat demokrasi?

J : Patut kita serah kepada ahli. Mereka pandai memilih. Tidak semestinya kita tentukan lebih awal siapa orang pilihan kita dan saya rasa semua orang pandai menilai dan memilih. Kita sudah merdeka lima puluh tahun lebih, rakyat pandai memilih kerana kerajaan ini wujud peringkat pusat dan negeri secara teratur mengikut peraturan dan perlembagaan yang menentukannya. Tidak ada sesuatu yang pincang yang boleh menimbulkan huru hara. Saya rasa rakyat Melaysia bijak, ahli-ahli Umno pun bijak. Saya rasa mesti diberi kebebasan kepada mereka untuk bertindak ikut apa yang ditentukan Perlembagaan parti dan peraturan yang sedia ada.

S : Jadi adakah peralihan kuasa itu (antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak) bercanggah dengan perlembagaan parti?

J : Saya tidak kata bercanggah. Tetapi tidak ada peraturan mengenai peralihan kuasa dalam parti. Yang tentunya, seseorang itu dipilih untuk berkhidmat sama ada peringkat cawangan, bahagian atau MT selama tiga tahun. Genap tiga tahun, maka orang itu, sudah tamat tempoh perkhidmatan. Maka mengikut perlembagaan parti mesti diadakan pemilihan. Masa pemilihan itulah ahli-ahli akan memilih sama ada yang lama, adakah dia layak untuk bertanding semula ataupun orang lain yang menawar diri untuk mengganti tempat. Kalaulah ada orang yang menawar diri, sesiapa juga yang layak, maka akan dipilih oleh parti.

Tidak ada ‘peralihan kuasa’ kalau kita lihat (dan baca) cara yang ditentukan oleh perlembagaan parti. Seperti di Amerika Syarikat, mengikut perlembagaan negara itu, mereka sudah tetapkan bila tarikh untuk menamakan orang bertanding Presiden dan bila tarikh untuk dipiih sebagai calon Presiden. Dan bila orang yang dipilih selepas pilihan raya mengambil alih jawatan. Maka ada masa peralihan di antara masa dipiilh dan hari mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden.

Kita dalam perlembagaan parti kita, tidak ada masa peralihan. Apabila genap tempoh maka diadakan pemilihan secara serta merta mengikut apa yang ditentukan perlembagaan. Jam itulah apabila dia dipilih, masa itulah juga dia diangkat untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang baru yang diberi kuasa.

S : Jadinya tradisi serah kuasa dalam Umno ini satu perkembangan tidak sihat?

J : Bukan ‘tidak sihat’ tetapi tidak ada. Ini sengaja dibuat-buat. Barangkali helah untuk melanjutkan masa duduk di situ, saya tidak tahulah. Amalan ini tidak ada. Kalau ada sila tunjukkan provisi dalam perlembagaan parti.

S : Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ada buat kenyataan pertandingan jawatan Presiden di Amerika Syarikat pun ada sistem kuota. Apa komen Tengku?

J : Saya baca perlembagaan negara lain barangkali. Beliau baca yang lain. Mungkin Muhammad jumpa naskhah baru (ketawa).Saya tidak jumpa lagi.

S : Ahli MT , Tan Sri Rahim Tamby Chik mencadangkan sesi debat bagi calon Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden diadakan. Bagaimana pandangan Tengku dalam hal ini?

J : Saya rasa tidak ada yang cacat untuk orang mengetahui apakah sifat-sifat dan idea-dea daripada seseorang yang menawar diri bertanding jawatan terutama sekali jawatan tinggi. Jadi kalau nak diadakan debat boleh juga tetapi mestilah mengikut syarat-syarat yang boleh diterima masyarakat dan tidak merosakkan mana-mana pihak.
Sebab debat ini bukan mengenai personaliti tetapi mengenai idea dan visi seseorang yang mahu diketengahkan dan bukan untuk memburukkan sesiapa.

S : Adakah Tengku yakin boleh mencapai kuota yang dikehendaki untuk pencalonan jawatan Presiden?

J : Saya tawar diri dengan harapan saya dapatlah kuota. Kalau saya sendiri tidak yakin, macam mana saya nak tawar diri. Kecuali kalau ada usaha-usaha luar dari usaha biasa. Menyekat, menghalang, mengugut , membeli, kalau ada itu semua apakan daya. Saya tidak ada jentera.
Jika keadaan berjalan secara normal, saya rasa Insya Allah boleh dapat bilangan kuota yang diperlukan. Tetapi kalau main duit, main polis, main halangan tentu susah. Cuba rasa kalau orang tidak ada kuasa tawar diri untuk bertanding. Tapi saya ini orang politik. Perkara sebegini sudah jadi lumrah.
(NOTA : Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk jawatan Presiden)

S : Mesyuarat pemilihan peringkat cawangan akan bermula pada hari ini (17 Julai). Bagaimana dengan usul dan sokongan dari cawangan untuk bahagian Gua Musang sendiri?

J : Saya tidak tahulah. (Sebagai Ketua Umno bahagian Gua Musang) saya cuma dijemput untuk merasmikan mesyuarat. Lebih kurang empat puluh lebih cawangan akan berhimpun.

S : Adakah wujud sekarang sebarang usaha menghalang Tengku dapat kuota?

J : Banyak perjumpaan yang saya pergi, ada pihak yang menegah ahli menghadiri perjumpaan yang dianjur untuk saya hadir. Barangkali mereka takut saya makan manusia (ketawa). Ada sesetengah tempat begitu bagus sambutannya seperti di Sabah. Baru-baru ini saya ke Pahang lebih seribu yang datang. Ada juga bilangan hadirin boleh dikira dengan jari kerana disekat; ada yang diberitahu tempat dan masa bertukar.
Tetapi mengikut maklumat yang saya dapat, orang ramai sebenarnya memberi sokongan. Orang Pahang , Terengganu beritahu saya mereka mahu merasa kepimpinan negara diketuai pemimpin dari Pantai Timur pula.

S : Adakah perubahan yang mengetatkan peraturan pemilihan ini bertujuan mengekang orang lama?

J : Itu terpulang kepada orang berkenaan dan ahli-ahli sama ada hendak menyokong tindakan itu. Tetapi kalau saya dipilih menjadi Presiden, saya bukan sahaja akan melonggar segala syarat-syarat malah akan menghapuskannya. Saya mahu kebebasan dan saya mahu mendemokrasikan parti ini dan kalau boleh saya mahu memulangkan kuasa yang ada di tangan Presiden, MT dan bahagian-bahagian kepada ahli-ahli Umno.
Umpamanya pemilihan Presiden dan MT, saya cadang perlembagaan dipinda untuk diserah kepada ahli-ahli di peringkat cawangan. Mesyuarat Agung cawangan seperti yang diadakan pada hari ini diberi kuasa untuk memilih bukan sahaja Ahli Jawatankuasa (AJK) cawangan, bahkan AJK Bahagian dan Ahli-ahli MT termasuk pengerusi tetap dan sebagainya.

S : Bagaimana pula tawaran Tengku sebagai Perdana Menteri (jika menang pemilihan Presiden)?

J : Tidak sampai ke situ lagi (ketawa). Ya lah. Banyak perkara perlu dilakukan. Saya rasa kehidupan rakyat adalah perkara nombor satu kita kena cuba selesaikan dan beri prioriti. Macam soal asas, sesetengah tempat belum ada jalan, bekalan air dan elektrik. Ini semua kena disediakan. Apatah lagi rakyat sekarang ini hidup mereka pun susah.
Kenaikan harga barang, pendapatan rakyat, kita kena guna satu polisi yang boleh membantu rakyat supaya tidak lagi menjadi beban kepada penghidupan mereka. Itu mesti dilakukan dan menjadi kewajipan kita.
Muda-mudi sekarang sama ada lulus sekolah atau universiti susah mendapatkan pekerjaan. Saya diberitahu puluhan ribu daripada graduan universiti sedang mencari kerja. Tidak ada peluang kera untuk mereka. Ini adalah tanggungjawab kerajaan mewujudkan peluang-peluang untuk mereka yang sedang mencari pelbagai jenis pekerjaan. Dan saya rasa itu mesti dan wajib diadakan oleh kerajaan. Kerajaan mesti mewujudkan peluang-peluang ini. Sama ada bawa modal luar banyak lagi supaya peluang-peluang itu akan wujud dengan banyaknya. Itu tanggungjawab kita.

S : Tengku rasa adakah langkah-langkah (menarik modal) itu boleh dilakukan dengan krisis kenaikan harga minyak sekarang?

J : Tuhan beri kita ini (akal), kita gunalah. Ramai cerdik pandai di Malaysia ini sejak kita merdeka yang kita boleh pohon kerjasama, sumbangan dan pertolongan untuk memberi bermacam-macam idea yang kita boleh guna. Kalau boleh kita jemput pakar dari luar untuk menasihatkan kita, memberi kita idea dan pandangan kalau tidak ada kepakaran dalam negeri dalam bidang-bidang tertentu. Pendek kata kita mesti guna kuasa yang rakyat beri kepada kita . Amanah yang diberikan diguna sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat.

S : Jika Tengku dipilih, adakah krisis keyakinan rakyat kepada (Umno dan kerajaan) sekarang boleh dikembalikan?

J : Ya, itu kita mesti yakinkan balik. Keyakinan rakyat kepada wakil rakyat dan pimpinan saya rasa sudah pun terhakis. Masyarakat sudah tidak pandang tinggi kepada mereka kerana banayak asangat tuduhan dan dakwaan di luar. Persepsi memburukkan keadaan. Sehingga rakyat berpandangan wakil rakyat dan pimpinan (Umno) makan suap. Kita mahu hakiskan semua itu.
Tetapi kita sendiri kena tunjuk yang sebenarnya kita tidak makan suap. Bahawa kita tidak salah guna kuasa dan kita sama seperti orang biasa. Cuma yang berbeza, kita adalah orang yang diberi tanggungjawab yang berat untuk menolong rakyat. Rakyat tidak mahu kerajaan kalau kerajaan tidak mahu menolong mereka. Dan kerajaan diwujudkan bukan untuk menyusahkan nkehidupan rakyat. Tidak guna ada kerajaan kalau kerajaan itu menyusahkan rakyat. Tidak ada kuasa, mereka reka undang-undang beri kuasa kepada kerajaan.
S : Bagaimana pandangan Tengku dengan cadangan pembangkang untuk mengatasi krisis kenaikan harga minyak?
J : Itu pandangan merekalah. Saya ada pandangan saya sendiri.

S : Jadi Tengku ada formula untuk turunkan harga miyak?

J : Kena cuba saya dulu. Dulu saya kata saya boleh ambil minyak balik (dari penjajah) supaya kita memiliki minyak ini orang tak percaya sehingga saya tubuh Petronas ambil balik minyak. Sekarang ini tiap-tiap tahun dekat RM 60 bilion boleh beri balik kepada negara. Tapi orang tidak ingat. Cuma sekarang pemimpin jangan fikir hal diri. Kena fikir hal rakyat. Kalau kita boleh tumpu sepenuh masa pada soal ini., saya rasa tidak akan tercicirlah. Sampai masa saya akan beritahu. Boleh , Insya- Allah.

S : Adakah ini bermakna harga minyak memang boleh diturunkan?

J : Harga minyak adalah harga yang ditentukan pasaran dunia. Tetapi harga petrol, diesel. minyak pelincir dan sebagainya yang dipasarkan dalam negara kita oleh syarikat-syarikat minyak yang ada di sini adalah harga yang ditentukan oleh kerajaan yang boleh ditimbang semula setelah dirundingkan mengikut keadaan yang ada. Saya tidak ingin sentuh lagi soal ini sehingga kita dapat tahu butir-butirnya supaya dapat kita memperincikan apa yang patut kita buat terhadap harga minyak.
Dan ini menyentuh kedudukan harga-harga barangan keperluan . Kita juga kena ambil kira apakah tindakan kita akan merugikan kita dari segi peluang pekerjaan kerana kilang akan menanggung rugi, barangkali terpaksa tutup dan sebaginya. Semua ini perlu diambil kira dan bukan perkara yang mudah.
Saya tidak akan jawab soalan ini (secara spesifik) sekarang. Kalau dipilih, saya akan jawab. Ini bukan mainan politik, ini soal hidup rakyat. Kita kena beri perhatian yang serius dan tidak boleh buat cadangan sembarangan.

S : Apa pandangan Tengku tentang cadangan rundingan antara Umno dan Pas?

J : Saya berpendapat apa juga yang menjurus kepada perpaduan patut digalakkan dan patut diterima oleh seluruh rakyat. Dan saya memang mengalu-ngalukan supaya ada muzakarah antara kedua-dua pihak. Bahkan saya lebih suka pertemuan ini dilakukan atas landasan keikhlasan, mahu menyatupadukan pengikut daripada semua peringkat dan juga para pimpinan. Kalau boleh lagi jadikan satu parti sahaja. Itu barangkali terlampau sangat nak harap boleh berlaku. Tetapi asalkan ada permulaan untuk kita bertemu dan berunding, ini adalah satu perkembangan yang amat baik untuk negara.
Sekarang ini kita berhadapan dengan krisis kepimpinan, krisis ekonomi yang meletakkan rakyat dalam keadaan bermasalah (confused state). Kalau pemimpin politik boleh tumpukan masalah rakyat sesudah ia dapat bersatu, saya rasa alangkah baiknya. Sebab kita bukan sahaja hendak hadapi krisis kenaikan harga minyak, krisis hari ini adalah kesan dari kejatuhan ekonomi dunia.
Sekarang kita masih boleh jual minyak kelapa sawit dengan harga yang tinggi, begitu juga minyak dan lain-lain. Tetapi jika keadaan ekonomi dunia merosot, rakyat yang akan tanggung beban. Jadi kalau kita pemimpin politik tidak boleh bersatu, sudah tentu ia akan membawa akibat yang lebih buruk.

S : Tetapi kenapa Pas ditendang keluar dari Barisan Nasional (BN) pada masa dahulu selepas bersama buat beberapa tahun?

J : Itu berpunca dari krisis dalam Pas sendiri. Di Kelantan (pada 1977), keadaan tidak begitu tenang. Walaupun sudah wujud kerajaan campuran di Kelantan dan peringkat pusat sebelum tertubuhnya BN, keadaan di sini tidak begitu aman.
Darurat diisytihar untuk menenangkan keadaan di Kelantan. Tetapi pimpinan Pas pada masa itu menentang keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat untuk membawa keadaan yang lebih tenang, baik dan selamat di Kelantan. Oleh sebab itu berlaku perkiraan semula mengenai hubungan Pas dengan BN ataupun UMNO yang membawa kepada peristiwa Pas ditendang keluar. Itu sejarahlah. Namun tidak bermakna kita tidak boleh baiki keadaan ini agar kita dapat bersatu semula.

(NOTA : Tengku Razaleigh merupakan Menteri Kewangan, Naib Presiden Umno dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan pada masa krisis Umno-Pas itu)

S : Boleh Tengku komen mengenai kes Datuk Seri Anwar Ibrahim?

J : Saya harap kes ini ditangani secara bijaksana dan profesional , tidak akan berlaku sesuatu di luar peraturan biasa kerana apa yang dilakukan oleh polis adalah untuk kuatkuasakan undang-undang. Tidak patut mereka buat perakara yang di luar peraturan biasa.

S : Adakah Umno tidak tergugat dengan tindakan-tindakan tegas kerajaan seperti penangkapan Anwar dan pendakwaan ke atas penulis blog Raja Petra Kamaruddin?

J : Pada pandangan saya, kenapa kita mengambil tindakan-tindakan seumpama ini sekarang. Kalau ada kes, tidak bolehkah diambil tindakan seperti biasa dan jangan beri kesempatan pada orang memikirkan ini tindakan politik.

Ini lepas debat, tangkap (Anwar) yang mana orang berpandangan kasar caranya, ini semua tidak baik. Saya sebagai ahli Umno dan penyokong kerajaan rasa kurang puas hati dengan apa yang berlaku dan saya berharap polis akan ikut peraturan yang ditentukan. Jangan buat sesuatu di luar peraturan yang di izinkan bagi mereka. Bagi saya tindakan-tindakan ini tidak membantu kerajaan yang sekarang ini sudah pun jauh daripada rakyat. Saya rasa musykil mengapa pimpinan kita buat pilihan ini.

Friday, July 4, 2008

KELANTAN TERUS BERJIMAT



Nik Aziz dengan tujuh langgkah lanjut penjimatan kerajaan negeri

KOTA BHARU : Kerajaan Pas Kelantan dengan dasar ‘berbelanja jangan sampai boros , berjimat jangan sampai kedekut’ sejak mula mentadbir 18 tahun dahulu mengumumkan tujuh langkah-langkah penjimatan tambahan berikutan kenaikan harga minyak.

“Kelantan sudah lama buat dasar berjimat kerana dengan mengurus harta berpandu kepada ajaran Islam kerana semuanya milik Allah tidak termasuklah batang tubuh kita sendiri. Kita berjimat bukan semata-semata kerana harga minyak naik tetapi kerana ia tuntutan agama,” kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita seleaps mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Mesyuarat pada 25 Jun itu memutuskan langkah serta merta supaya semua penerbangan pegawai kerajaan negeri hendaklah menggunakan kelas ekonomi kecuali bagi kes melibatkan kesihatan.

“Tuntutan elaun exco akan dihadkan, peruntukan kos menganjurkan program dan majlis keraian akan dikuranglan 30 peratus daripada biasa dan segala program melibatkan kakitangan kerajaan seboleh mungkin diadakan di dewan dan pejabat kerajaan sendiri,” kata Nik Aziz lagi.

Beliau juga memberitahu setiap peralatan elektrik seperti penghawa dingin, lampu dan komputer wajib ditutup semasa waktu rehat kecuali jika ada pekerja yang masih bertugas.
Amalan menutup penghawa dingin lebih awal dari masa tamat waktu pejabat sudah lama dipraktikkan di Kelantan sejak beberapa tahun dahulu.

“Pembelian peralatan pejabat juga akan dihadkan dan langkah yang ketujuh adalah pemberhentian segera projek pembaikan penaikan taraf yang tidak perlu kepda pejabat dan sebagainya,” katanya.

Nik Aziz menjelaskan jika harta sendiri pun Islam mengharamkan pembazitran maka inikan pula harta kerajaan yang diamanahkan rakyat untuk ditadbir.