Friday, April 25, 2008

MINDA PEMIMPIN PAS KENA BERUBAH


Minda pemimpin Pas kena berubah – Hu Pang Chaw

KOTA BHARU : Pimpinan Pas mesti mengubah fikiran bahawa Pas hanya parti untuk orang Islam semata-mata sebaliknya ia juga perlu kepada sokongan padu orang bukan Islam.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan , Sdr Hu Pang Chaw ketika ditemui baru-batu ini berkata, undi yang diberi pengundi bukan Melayu kepada Pas terutamanya di Kedah sehingga membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mesti diambil sebgai penanda aras pentingnya Pas meraih kepercayaan bukan Islam.

“Orang bukan Melayu melihat Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan keadilan. Isu ini merentasi kaum dan agama. Jadi pimpinan Pas terutama di peringkat akar umbi mesti membuang jauh perasaan perkauman yang mungkin masih ada,” katanya dalam satu temuramah yang diadakan Mingguan Wasilah bersama wartawan sebuah akhbar komuniti di Kelantan.

Menurutnya beliau kesal apabila ada desas-desus yang mengatakan cadangan untuk melantik senator bukan Melayu mewakili Pas di Dewan Negara ditolak atas alasan parti itu parti orang Melayu.

“Saya bukan kata pandangan yang mengatakan Pas mesti mengambil wakil dari orang Melayu itu salah tetapi sekiranya masih ada lagi pemimpin Pas yang berfikiran perkauman sedemikian maka Pas tidak akan bergerak jauh.

“Ia akan kembali menjadi seperti dahulu di mana sokongan hanya boleh diperolehi daripada orang Melayu yang menyokong Pas dan golongan atas pagar sahaja,” katanya.

Menurut Hu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seharusnya dijadikan contoh kepimpinan kepada semua terutama pimpinan muda dalam Pas.

“Tuan Guru Nik Aziz tidak mempunyai pemikiran perkauman langsung. Semua orang daripada penganut Kristian, Hindu dan Buddha menganggap beliau pemimpin yang mereka tunggu-tunggu selama ini walaupun Tuan Guru beragama Islam.

“Apabila beliau melangkah masuk ke tokong Buddha dan wat Siam untuk merasmikan apa-apa program, beliau telah memecahkan tembok perkauman dan ketakutan yang ada. Semua orang tahu beliau bukannya ke sana untuk beribadat tetapi untuk berjumpa dengan rakyat sebagai seorang Menteri Besar,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan bahawa orang bukan Melayu memenangkan Pas dalam pilihan raya umum baru-baru ini kerana mereka tidak mahu memberi undi kepada Barisan Nasional (BN), Hu menolaknya dengan berkata mereka tidak akan bersusah payah turun mengundi jika sekadar tidak mahu menyokong BN.

“Kalaulah mereka betul-betul takut kepada Pas dan mereka tidak suka BN mereka tidak akan menyusahkan diri keluar mengundi. Kenapa mereka hendak pergi mengangkat satu parti yang didakwa sebagai puak yang ekstrimis yang menzalimi masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Kenapa pula mereka hendak sokong?

“Lebih baik mereka rosakkan undi sahaja ataupun tidak keluar mengundi sama sekali,” ujarnya.

Beliau yakin Pas sekarang bukan lagi menjadi parti yang ditakuti akan tetapi jika kumpulan Islam ini tidak dapat membuktikan bahawa perjuangan mereka untuk semua, mereka akan kehilangan sokongan daripada orang bukan Islam semula.

Hu pernah terlibat dengan MCA selama lebih 20 tahun dan merupakan bekas Setiausaha Pemuda MCA Kelantan pada dekad 90-an. Kelab Penyokong Pas telah ditubuhkan pada 2004 hasil perbincangan kaum bukan Melayu yang menyokong Pas dan mula bergerak aktif pada 2005 setelah Dr Mujahid Yusuf Rawa dilantik menjadi Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas.







No comments: