Wednesday, October 8, 2008

SUAPAN MINDA BUAT PENYOKONG PAS ... SILA BERFIKIR DI LUAR KOTAK

(gambar dari http://www.zainalhalim.com/)
KEDUDUKAN MELAYU SUDAH SELAMAT

Prof Dr Abdul Aziz Bari, UIAM ( Kolum Perspektif dalam SINAR 6 Oktober 2008)

Muka depan Harakah edisi Idilfitri minggu lalu menyiarkan amaran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apa yang dikatakan amaran ini bagaimanapun sebenarnya lebih merupakan syarat Pas menyertai Kerjaan pakatan rakyat yang diwar-warkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen.
Ketua Umum PKR itu sebelum ini menyasarkan 16 September - yang juga hari pembentukan persekutuan Malaysia- sebagai tarikh pembentukan kerajaan baru di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan kerana undi tidak percaya tidak dapat dibentangkan. Ini kerana Perdana Menteri dan Barisan Nasional menghalangnya; sesuatu yang tidak mungkin berlaku di negara-negara yang kualiti dan komitmen demokrasinya tinggi.
Dalam sistem Westminster di mana sokongan majoriti di dalam dewan adalah nyawa kepada kerajaan yang memerintah. Ia tidak boleh ditangguhkan.
Sebab itu semua pihak, dari Yang di- Pertuan Agong, Speaker dewan, pembangkang hatta kerajaan sendiri, memastikan bahwa mekanisma undi tidak percaya itu dihidupkan. Ini sangat perlu supaya urusan rutin pentadbiran kerajaan dapat diteruskan. Kerajaan yang kesahan dan kredibilitinya dipersoalkan tidak akan dapat melakukan fungsi itu dengan berkesan.
Apakah Pas sengaja hendak menggagalkan projek politik Anwar itu tidaklah dapat dipastikan. tetapi parti itu pernah mendakwa bahawa ia disisihkan dalam perancangan dan perjalanan Pakatan Rakyat yang didakwanya didominasi Anwar dan PKR. Bagaimanapun sekutu yang lain - yakni DAP - tidak membangkitkan soal itu.
Malahan Pas diberi kepercayaan memimpin kerajaan Pakatan di Perak meskipun ia memiliki bilangan kerusi paling kecil berbanding PKR dan DAP. Apa pun ini adalah kehendak Perlembagaan yang menetapkan bahawa hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik menjadi Menteri Besar.
Berbalik kepada syarat tadi kelihatannya hanya Abdul Hadi dan beberapa orang pemimpin tertentu dalam Pas sahaja yang berpandangan begitu. Termasuk dalam kumpulan ini adalah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Mustapha Ali. Mereka juga kelihatannya begitu berminat untuk bersama dengan Umno.
Bagaimanapun ini dibantah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di belakang Menteri Besar Kelantan ini ialah anggota exco beliau, Datuk Husam Musa dan beberapa pemimpin kanan Pas yang lain termasuk Setiausaha Agung Datuk Kamarudin Jaafar. Untuk catatan Julai lalu Muktamar Pas secara rasmi membuat ketetapan bersama Pakatan Rakyat.
Sebab itu sikap Abdul Hadi dan kumpulannya memeranjatkan. Ia juga sukar untuk difahami kerana Mustafa sendiri pernah melalui pengakaman pahit sewaktu Pas berada dalam Barisan pada 1974-1977; kerjasama yang berakhir dengan pemecatan Pas dan perisytiharan darurat di Kelantan pada 1977.
Dalam pada itu abdul Hadi dan Mustafa gagal memenangi Terangganu pada pilihan raya Mac lalu. Mustafa adalah juga Pesuruhjaya Pas negeri yang turut gagal memenangi sebarang kerusi. mereka juga gagala mempertahnakan negeri itu pada pilihan raya umum 2004; Pas menang dalam Pilhan Raya Umum 1999. Abdul Hadi kemudian dilantik menjadi menteri Besar dan mustafa sebagai exco kanan dan penggerak utama pentadbiran negeri.
Dengan kata lain, mereka menuntut sesuatu yang mereka sendiri gagal melakukannya. syarat itu juga tidak relevan dalam konteks Perlembagaan kerana kedudukan Melayu dan islam sudah selamat. Masalah yang ada sekarang timbul akibat dasar dan kesilapan Umno yang tidak mengisi kerangka dari perun tukan itu dengan baik. Masalah itu juga berpunca dari sikap orang Melayu sendiri yang terus manja dan bergantung kepada kerajaan.
Mengandaikan Anwar mempunyai 112 ahli Parlimen yang majoritinya bukan Melayu dan bukan Islam itu sebenarnya bukan berbahaya sebagaimana yang didakwa oleh Abdul Hadi dan kumpulannya. Ini kerna bukan semua akan masuk kabinet; kebanyakan mereka akan hanya jadi penyokong kerajaan.
Jadi apa yang abdul Hadi dan kumpulannya takutkan? bukankah dalam Islam sendiri apa yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti? Perang Badar di zaman Rasulullah SAW membuktikan prinsip ini.
Tegasnya syarat Abdul Hadi dan kumpulannya tidak dapat difahami, baik dari segi politik mahupun Perlembagaan. Setelah lebih 51 tahun merdeka kita memerlukan satu pendekatan politik yang baru. Tetapi ia memerlukan prasarana tertentu termasuk pemerkasaan segala peruntukan di dalam Perlembagaan. Dan ini tidak mungkin berlaku di dalam pentadbiran sekarang.
Memang, tidak ada jaminan bahawa pakatan akan menjamin ia berlaku. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia telah memberikan janji dan komitmen ke arah itu. Dan kalau ia gagal rakyat akan menghukum Pakatan dalam pilihan raya akan datang.
Apa yang Abdul Hadi dan kumpulannya mahu tidak selaras dengan ideal untuk memperkasa sistem dua parti yang amat penting untuk membolehkan mekanisme perlembagaan berfungsi. Dan terpulanglah kepada Pas untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan keputusan muktamarnya sendiri.
Walau apa pun tindakannya ia penting kerana ia akan menentukan sama ada parti itu akan terus relevan dan menjadi pemain utama dalam politik negara atau sebaliknya.
ulasan penyalin teks : ALLAHU AKBAR! SELAMATKAN GERAKAN ISLAM DAN RAKYAT MALAYSIA!

No comments: