Wednesday, April 29, 2009

Terkenang saat mula-mula aku mendengar perkataan 'KERAJAAN PERPADUAN'


(laporan dari jamuan makan Datuk Wan Rahim Wan Abdullah kira-kira dua minggu selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008)


Rakyat ‘paksa’ PAS dan DAP bekerjasama


KOTA BHARU : Percaturan baru politik Malaysia dapat dilihat apabila rakyat secara jelas ‘memaksa’ kerjasama diadakan antara parti pembangkang terutamanya Pas dan DAP dengan undi yang mereka beri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Pakatan barisan pembangkang telah berjaya memperoleh 49.79 peratus undi daripada 7.9 juta pengundi pada tarikh bersejarah tersebut.


Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Wan Rahim Wan Abdullah, kini terserahlah kepada pucuk pimpinan parti pembangkang seperti Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menentukan halatuju politik Malaysia seterusnya.


“Kita menyambut baik kerjasama yang terjalin antara tiga parti itu dalam pembentukan kerajaan negeri di Selangor, Kedah dan Perak.Terserahlah kepada mereka sekarang hendak mencorakkan halatuju yang seterusnya kerana rakyat telah membuka jalan,”katanya.


Pas dan DAP sebelum ini bermasalah untuk menjalinkan kerjasama kerana isu ‘negara Islam’. Hubungan hanya dibuat secara tidak langsung melalui kerjasama antara parti masing-masing dengan PKR.


Tiada pertembungan berlaku sesama ketiga parti ini dalam pilihan raya umum ke 12 dan isyarat paling menarik adalah pelantikan wakil rakyat Pas di Perak , Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar di saat parti itu hanya menang 6 kerusi Dun berbanding 7 bagi PKR dan 18 bagi DAP.


Menurut Wan Abdul Rahim , strategis politik Pas di peringkat pusat dan negeri, sebenarnya DAP boleh menerima Pas tetapi propaganda dari MCA dan Gerakan yang membuat kempen mengundi untuk Pas adalah undi kepada negara Islam membuat orang Cina di peringkat ‘grassroot’ (akar umbi) menjadi celaru.


“Sekiranya kita pergi jauh lagi, saya dapat lihat kemungkinan kita berusaha ke arah mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ yang melibatkan semua parti iaitu BN, DAP, PAS dan PKR demi kesejahteraan rakyat Malaysia.


“Terserahlah kepada pimpinan tiga parti pembangkang tersebut sekiranya mereka ingin berjumpa Pak Lah untuk membuat rundingan,” kata Wan Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian semasa meraikan para wartawan di Kota Bharu dalam satu majlis makan malam. Pada malam tersebut, Sdr Lim Guan Seng, 43, telah diperkenalkan sebagai wakil beliau berurusan dengan masyarakat Cina di kawasan parlimennya.

No comments: