(PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA)
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU 30 April – Dua jawatan tertinggi Pas iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.
Ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulama Pas itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi sehubungan itu meminta ahli-ahli parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.
“Bagi saya, kedua-dua jawatan tertinggi itu mesti alim ulama, siapa yang tawarkan diri tidak kira sebab masing-masing hendak naik, cuma kita orang parti ada pertimbangan sendiri. Mesti utamakan kepimpinan ulama. Nombor satu dan dua mesti ulama.
“Untuk jawatan lain tidak apa. Intelek atau profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan parti Jun ini yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.
Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu. Antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya ialah dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.
Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.
Ketika ditanya adakah Nasharuddin masih layak untuk mengekalkan jawatannya, Mohamed berkata, Nasharuddin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan pemimpin aliran agama.
“Kalau tidak ada aliran agama tidak boleh. Kalau ada yang lebih baik daripada Nasharuddin, perwakilan boleh membuat pilihan.
“Tidak boleh (bukan ulama memimpin). Kita kena ikut dasar agama, tengok sejarah zaman dulu Saidina Abu Bakar, Umar, Osman, Ali dan Muawiyah semuanya golongan ulama.
“Selepas itu, pemimpin jahil seperti Yazid Muawiyah mengambil alih kepimpinan, dia buat benda bertentangan dengan Islam sehingga menyebabkan negara menjadi kucar- kacir,” jelasnya.
Beliau menambah, tanggapan sesetengah pihak bahawa golongan profesional amat sesuai memegang jawatan Timbalan Presiden adalah tidak tepat.
Menurutnya, ia jelas apabila kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disukai oleh kaum lain seperti Cina dan India.
Dalam pada itu, Mohamed mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Dewan Ulama disebabkan faktor usia dan kesihatan pada muktamar kali ini.
"Saya sudah buat keputusan untuk menarik diri daripada jawatan ini. Kita buat keputusan untuk mencadangkan beberapa nama bagi menggantikan saya antaranya Datuk Haron Taib dan Datuk Ahmad Yakob," katanya.
No comments:
Post a Comment