KOTA BHARU : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar, yang mencatat sejarah sebagai Speaker DUN pertama berbangsa India dalam negara pada mulanya agak gementar apabila diberitahu bahawa beliau akan dipilih ke jawatan tersebut.
“Sebenarnya saya sedikit gementar juga.Tetapi perasaan itu hilang selepas saya diundi secara muktamad dalam dewan sebagai Speaker,” katanya.
Pada 25 April lalu, Sivakumar, 38, wakil rakyat Tronoh dari DAP mendapat 31 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Junus Wahid yang mendapat 28 undi ketika sesi pelantikan Speaker dibuat di persidangan Dewan Negeri Perak.
“Mengikut perancangan awal, proses pengundian mahu dibuat mengikut apa yang ada dalam Perintah Tetap iaitu pengundian dilakukan dengan setiap ahli dewan di tempat duduk masing-masing dan Setiausaha dewan akan mengambil kertas yang setiap ditanda untuk dimasukkan ke dalam kotak undi.
“Akan tetapi cara ini tidak dipersetujui wakil rakyat pembangkang (BN) dan mahu ia dijalankan secara rahsia,” jelas Sivakumar.
Menurutnya, pihak BN mendakwa, amalan asal akan menyebabkan orang di sebelah dapat melihat nama yang diundi. Mereka mahukan setiap Adun keluar ke hadapan untuk menanda kertas undi dan memasukkannya ke dalam kotak.
Perang mulut terjadi antara Adun Pakatan Rakyat (Pakatan) dan BN tentang cara pengundian Speaker tetapi ia ditamatkan apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bersetuju dengan undian secara rahsia.
“Ini agak membimbangkan kerana diikhuatiri ada mana wakil Pakatan yang akan menyokong BN secara rahsia. Tetapi keputusan membuktikan kesemua 31 Adun telah mengundi saya dan mereka sepakat dalam pemilihan Speaker,” kata Sivakumar lagi.
Kerusi DUN Perak dikuasai oleh Pakatan dengan DAP menduduki 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat 7 kerusi dan Pas 6 kerusi menjadikan 31 kerusi kesemuanya. Manakala selebihnya iaitu 28 kerusi diduduki BN.
“Saya rasa amat gembira kerana inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia orang India dipilih sebagai Speaker dan ia merupakan satu bukti jelas bahawa Pakatan adil kepada semua.
“Ia juga merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan buat kaum India dalam negara ini,” jelas Sivakumar kepada Mingguan Wasilah (akulah tu) ketika ditemui selepas majlis dialog antara rombongan kerajaan negeri Perak dengan sebahagian pimpinan kerajaan dan Adun Kelantan di Kompleks Darul Naim baru-baru ini.
Beliau terjun ke dunia politik sejak tahun 1997 dan adalah seorang graduan jurusan undang-undang serta mempunyai kelulusan sarjana dalam pengurusan perniagaan.
No comments:
Post a Comment