Tuesday, May 27, 2008

CERITA SEBENAR DI SEBALIK ISU TIMBALAN MENTERI BESAR KELANTAN YANG TELAH DITOKOK TAMBAH MEDIA

Dato' Hj Abdul Halim Hj Ahmad memegang kenyataan akhbar beliau di Istana Balai Besar
Kenyataan Akhbar Dato’ Pengelola Istana D’Raja Kelantan pada 27 Mei 2008

Sebagai Pengelola Istana D’Raja Kelantan, saya ingin memaklumkan bahawa berita yang disiarkan di beberapa akhbar pada 25 Mei 2008 mengenai YB Dato’ Timbalan Menteri Besar yang dirawat di CCU Hospital USM adalah tidak tepat dan saya ingin membuat pembetulan.

Dalam berita yang disiarkan pada 25 Mei 2008 telah disebut bahawa YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Dato’ Hj Ahmad bin Yacob dimasukkan ke hospital pada 24 Mei 2008 jam 1 pagi dan ditempatkan di CCU selepas mengadap KDYMM Al-Sultan untuk mendapat perkenan KDYMM Al-Sultan memangku tugas Menteri Besar yang menunaikan pada 25 Mei 2008 hingga 9 Jun 2008. Berita yang disiarkan oleh beberapa akhbar mengenai perkara tersebut adalah tidak benar.

YB Dato’ Timbalan Menteri Besar tidak pernah mengadap KDYMM Al-Sukltan sebelum dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan bagi mendapat perkenan baginda untuk beliau menjalankan tugas Menteri Besar.

Apa yang sebenarnya berlaku mengenai perkara ini ialah YAB Dato’ Menteri Besar telah menyembah surat kepada KDYMM Al-Sultan untuk mendapat perkenan KDYMM Tuanku bagi Dato’ Timbalan Menteri Besar menjalankan tugas sebagai Menteri Besar semasa ketiadaan beliau.

KDYMM Al-Sultan telah ampuni perkenan dengan hasrat YAB Dato’ Menteri Besar tersebut dan telah dijawab pada 13 Mei 2008 kepada YAB Dato’ Menteri Besar.

Pada 26 Mei 2008, Pejabat Sultan Kelantan telah menerima surat daripada Menteri Besar bagi mendapat perkenan KDYMM TUanku Al-Sultan agar YB Dato’ Timbalan Menteri Besar masih dalam rawatan di hospital.

YB Dato’ Hj Husam b Musa juga tidak pernah membuat kenyataan bahawa Dato’ Timbalan Menteri Besar mendapat serangan jantung selepas mengadap KDYMM Tuanku Al-Sultan.

Saya ingin memaklumkan bahawa DYMM Raja Perempuan Kelantan juga amat prihatin dengan masalah kesihatan YB Dato’ Timbalan Menteri Besar dan baginda telah berangkat melawat YB Dato’ Timbalan Menteri Besar di HUSM pada petang hari Sabtu, 24 Mei 2008.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Dato’ Timbalan Menteri Besar telah mendapat rawatan yang begitu baik di HUSM dan pada masa ini sedang berehat.

Saya juga mendapat maklum bahawa Dato’ Timbalan Menteri Besar ada tanda-tanda serangan jantung dan dihantar ke hospital selepas menghadiri Pusat Tarbiyah (PUTIK), Pengkalan Chepa dan bukannya selepas mengadap KDYMM Al-Sultan.

Saya berharap pihak akhbar dapat membetulkan perkara ini agar pihak pembaca dan orang ramai tidak tersalah anggap dengan mengatakan bahawa Dato’ Timbalan Menteri Besar dimasukkan ke hospital selepas mengadap KDYMM al-Sultan itu tidak benar sama sekali.

Saya juga berharap agar pada masa akan datang berita-berita mengenai KDYMM Al-Sultan dan DYMM Raja Perempuan Kelantan hendaklah diambil dari sumber rasmi iaitu dari Pejabat Sultan Kelantan.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh: Dato’ Hj Abdul Halim Hj Hamad

(Pengelola Istana D’Raja)
Pejabat Sultan Kelantan
Istana Balai Besar
Kota Bharu
Kelantan

Bertarikh 27 Mei 2008

No comments: