Tuesday, May 27, 2008

KELANTAN JADI PILIHAN KOLEJ IRELAND

Nik Aziz menyaksikan memorandum perjanjian ditandatangani wakil kedua-dua pihak. Di sebelah kanannya, Prof Madya Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dan di sebelah kiri, En. Leo O’Brien.

KOTA BHARU : Kesederhanaan yang wujud di Serambi Mekah menjadi salah satu faktor ia dipilih salah sebuah kolej swasta terkemuka Ireland untuk membuka cawangannya di sini.
Baru-baru ini, satu memorandum perjanjian telah ditandatangani antara Kolej Griffith Dublin (KGD) dari Ireland dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) di Pejabat Menteri Besar Kelantan bagi menandakan permulaan kerjasama antara kedua-dua kolej.

Melalui kerjasama ini, bentuk pengajian tahap ijazah yang ada di KGD di Ireland akan disediakan di KTD dan ini memberi peluang kepada anak-anak Kelantan khususnya dan Malaysia amnya belajar sukatan pelajaran bertaraf antarabangsa tanpa perlu mereka berbelanja besar untuk keluar negara mealui program 3+0 yang disediakan di kampus KTD di Pengkalan Chepa.

Dalam majlis tersebut, kolej swasta dari Ireland yang sudah bertapak lebih 30 tahun dan mempunyai cawangan di seluruh dunia itu telah diwakili Pengarah dan Ketua Hal Ehwal Antarabangsa KGD, En Leo O’Brien manakala KTD pula oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Prof Madya Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman.

Menurut O’Brien, Kelantan menjadi satu-satunya pilihan KGD di Malaysia kerana merasakan suasana di negeri ini menepati ciri-ciri yang pihak mereka cari.
“Kadang-kadang di bandar besar seperti Kuala Lumpur, terlalu banyak kolej yang bersaing antara satu sama lain. Kami lebih berminat untuk menjadi lebih ‘tersendiri’ dalam pendekatan.

“Melalui program-program yang kami sediakan kami akan memastikan ia berdiri atas merit dan kredibilitinya sendiri,” katanya.

Tambahnya, mereka tidak mahu memikirkan tentang persaingan dengan kolej lain yang menawarkan program yang serupa.

“Bilangan pelajar yang mungkin akan kami perolehi mungkin tidak akan seramai jika kami berpusat di bandar-bandar besar tetapi perkara positif yang akan kami dapat adalah kami akan berupaya memberi lebih tumpuan kepada pelajar. Saya dapat rasakan kerjasama dengan KTD ini akan beroleh kejayaaan,” katanya optimis.

Terdapat lima program yang ditawarkan untuk semester pengajian yang dijangka bermula September ini iaitu pengajian perniagaan, akaun dan kewangan, sains komputer, kewartawanan dan media visual serta pengurusan hospitaliti antarabangsa.

Sementara itu, Dr Abdullah memberitahu pemberita, yuran pengajian yang ditetapkan untuk program selama tiga tahun adalah sebanyak RM49,500.

“Para pelajar lepasan diploma atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berminat boleh menyambung pelajaran mereka di sini. Yuran pengajian yang disebutkan adalah jauh lebih murah daripada sekiranya pelajar tersebut belajar di Ireland sepenuhnya.

“Walaubagaimanapun, sekiranya pelajar berminat untuk merasai suasana di United Kingdom, peuang tetap diberi pada tahun terakhir,”katanya.

Tambah Dr Abdullah , pelajar boleh mengambil pinjaman yang disediakan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Turut hadir menyaksikan majlis perjanjian pada 11 Mei 2008 itu adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

No comments: