Tuesday, May 13, 2008

KELANTAN RUNDING BEKALAN GANDUM IRAN


KOTA BHARU 8 Mei (UTUSAN MALAYSIA) - Kerajaan Pas Kelantan akan berusaha mengadakan rundingan dengan kerajaan Iran bagi mencari sumber bekalan makanan baru dengan harga yang lebih murah bagi membantu meringankan kehidupan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, sumber itu termasuklah gandum yang diyakini boleh dibawa masuk bagi mengekang kenaikan harga produk berasaskan bahan itu.

"Awal bulan Jun, kita akan ke Iran untuk mencari sumber makanan baru iaitu bekalan gandum yang boleh diperoleh dengan murah, jadi kita boleh bantu rakyat mengurangkan kos hidup rakyat.

"Seperti kita maklum, produk berasaskan gandum seperti roti harganya tinggi dan kerana itulah ia secara tidak langsung membebankan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Husam berkata, ia merupakan salah satu langkah bagi mencari penyelesaian bersama dalam mengatasi kegawatan ekonomi dunia sehingga menjejaskan secara langsung sumber bekalan makanan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk kerajaan pakatan parti pembangkang, Barisan Nasional (BN) dan media supaya berfikiran positif dan fokus untuk membantu rakyat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

"Fokus sepatutnya diberikan untuk membantu rakyat dan bukannya membesarkan isu dan polemik kontroversi berterusan selepas pilihan raya umum lalu.

"Isu kontroversi ini bukannya menyenangkan rakyat tetapi sebaliknya akan menjadikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah lebih tertekan kerana nasib sebenar mereka seperti dilupakan," katanya.

Tegas beliau, negara perlu menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran kegawatan ekonomi dunia yang semakin membimbangkan.

"Cukuplah dengan media memainkan isu dan polemik kontroversi, kita perlu fokus dan berubah kerana dijangkakan dalam tempoh lima dan enam bulan lagi sumber bekalan makanan akan bertambah buruk," katanya. -UTUSAN MALAYSIA


No comments: