Wednesday, September 24, 2008

BENTUK KERAJAAN : Anwar kena pantas, Agong perlu bertindak



Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu pantas dalam menyusun gerak untuk membentuk kerajaan persekutuan. Selain itu beliau juga perlu mempunyai langkah-langkah alternatif untuk dilakukan sekiranya langkah awal yang diambil gagal atau dihalang.

Demikian pendapat yang diberikan Profesor Dr Abdul Aziz Bari kepada Mingguan Wasilah ketika dihubungi baru-baru ini. Pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berkata, Perlembagaan Persekutuan begitu terbuka dan tidak memberikan preskripsi jelas tentang cara dan prosedur untuk membentuk kerajaan dalam keadaan sekarang.

“Selain itu apa yang kita alami ketika ini juga tidak pernah berlaku. Meskipun pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya dan penarikan sokongan pernah berlaku di peringkat negeri, ia tidak pernah berlaku di peringkat persekutuan,” tambahnya.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia bukan kerana undang-undang yang berlainan. Abdul Aziz berkata undang-undang yang terpakai tetap sama tetapi pihak UMNO dan Barisan Nasional pasti menyusun pelbagai helah untuk terus berkuasa.

“Ini tidak berlaku di negara-negara Westminster yang lain termasuk United Kingdom, Australia dan India di mana kerajaan jatuh dan bangun dianggap perkara biasa dan tidak memeranjatkan sesiapa. Sebaliknya di Malaysia ia seperti dunia hendak kiamat,” ujar beliau. Bahkan, tambahnya, fenomena pertukaran kerajaan juga berlaku begitu mudah di negara-negara Asia seperti Jepun dan Thailand.

Ditanya tentang prosedur membentuk kerajaan Abdul Aziz menyatakan: “Soal ini tidak dinyatakan dengan terperinci. Meskipun begitu ada peruntukan-peruntukan tertentu yang berkenaan selain daripada amalan yang konsisten di dunia Komanwel yang boleh dijadikan rujukan. Menurut Suruhanjaya Reid inilah cara memahami dan melaksanakan peruntukan-peruntukan berkenaan.”

Katanya, apa yang perlu dilakukan sebaik-baik sahaja Anwar menyatakan bahawa beliau mempunyai bilangan ahli parlimen (MP) yang cukup untuk membentuk kerajaan – yakni minimum 112 orang – ialah Yang di-Pertuan Agong menitahkan beliau mengadap.
Dalam pertemuan itu, katanya lagi, baginda berhak meminta senarai berkenaan dan boleh menitahkan ahli-ahli parlimen yang menyeberang untuk memberitahu baginda pihak mana yang mereka sokong.

Sekiranya baginda yakin bahawa telah ada 112 orang MP yang menyokong Anwar maka baginda boleh melantik beliau sebagai Perdana Menteri baru. Pada masa sekarang BN menguasai 140 daripada 222 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat 82 termasuk satu kerusi wakil rakyat bebas.

“Pada hakikatnya apabila 112 orang MP telah berada di belakang Anwar maka secara automatik jatuhlah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari kerusi Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong hanya perlu menitahkah beliau meletakkan jawatan sebagaimana yang diwajibkan oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” jelas Abdul Aziz lagi.

Ditanya apa yang akan terjadi kepada Abdullah beliau berkata: “Tidak ada apa-apa, beliau akan jadi ahli parlimen biasa. Mungkin akan dilantik jadi Ketua Pembangkang sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli parlimen yang tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.”

Abdul Aziz berkata Abdullah bebas untuk membentangkan usul undi tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan baru yang dipimpinnya. “Abdullah mungkin boleh jadi Perdana Menteri semula jika beliau berjaya menjatuhkan Anwar,” ujar beliau.

Pensyarah undang-undang UIAM itu mengingatkan bahawa perletakan jawatan oleh Abdullah adalah merangkumi seluruh anggota kerajaan beliau; yakni menteri-menteri kabinet dan semua timbalan menteri serta setiausaha parlimen.

Tentang permintaan Anwar kepada Abdullah supaya sidang khas parlimen diadakan Abdul Aziz berkata: “Kita sudah jangka bahawa Abdullah akan menolak kerana ia adalah permintaan supaya Abdullah membenarkan dirinya ‘diadili’ oleh dewan.”

Beliau menegaskan sepatutnya sidang seperti itu boleh diadakan dan tidak harus ditolak. Sebab itu, katanya lagi, kerajaan jatuh melalui undi tidak percaya begitu lumrah di negara-negara lain. Beliau menambah itulah yang menjadi masalah dengan sistem politik kita. “Politik kita tidak mengikut undang-undang dan budaya politik yang betul. Sebab itu timbul ugutan hendak menggunakan ISA dan sebagainya,” tambahnya.

Di negara-negara Westminster yang lain, usul tidak percaya boleh dikemukakan bila-bila masa dan semua kerajaan bersedia untuk menghadapinya. “Sebaliknya kerajaan kita lari lintang pukang, mengemukakan pelbagai helah dan mengemukakan pelbagai ancaman untuk kekal berkuasa. Ini pelik dan memalukan Malaysia,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, perlembagaan tidak menyatakan sama ada sokongan atau penarikan sokongan oleh para MP perlu ditunjukkan di dalam dewan atau sebaliknya. “Saya berpendapat meskipun perlembagaan tidak menyebutnya eloklah jika usul berkenaan dibentangkan di dalam dewan. Ia lebih telus dan jelas. Malangnya kerajaan cabut lari dan enggan menghadapi dan setakat ini Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil tindakan. Saya berpendapat baginda perlu bertindak; contohnya menitahkan supaya kerajaan menghadapi usul itu atau menitahkan supaya parlimen bersidang,” jelasnya,

Abdul Aziz berpandangan perkembangan yang ada sekarang sudah sampai ke tahap yang kritikal dan Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil inisiatif untuk meredakan keadaan.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa keadaan ini tidak pernah berlaku. “Tetapi saya fikir perlembagaan memberikan ruang dan kita perlulah kreatif. Lagipun kita boleh merujuk kepada amalan Komanwel sebagaimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya Reid,” katanya.

Ditanya tentang kes liwat yang dihadapi oleh Anwar beliau berkata itu adalah isu yang berasingan. “Meskipun Anwar Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai imuniti; yakni beliau tidak kebal di sisi undang-undang. Jadi pendakwa dan mahkamah tidak tertakluk kepada perintah beliau. Mungkin beliau boleh mempengaruhi pendakwa supaya menggugurkan kesnya tetapi saya fikir itu akan menjatuhkan kredibilitinya sendiri. Lagipun Anwar menang atas janji dan komitmen untuk mengembalikan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Mengenai kedudukan Islam dan orang Melayu, Abdul Aziz berkata perubahan kerajaan tidak semestinya mengancam kedudukan berkenaan. “Peruntukan perlembagaan mengenai perkara-perkara itu terletak ditangan Raja-Raja dan tidak boleh dipinda tanpa perkenan mereka. Selain itu pelaksanaan Perkara 153 (tentang hak keistimewaan orang Melayu) perlu dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja”.

Abdul Aziz menambah setelah 51 tahun merdeka isu berkenaan tidak sepatutnya dibesar-besarkan. “Sekiranya kedudukan Islam dan orang Melayu masih lemah bukankah ia menunjukkan kelemahan UMNO sendiri?” soal beliau.

Apapun, tegas beliau, persoalan Islam dan Melayu adalah terletak di tangan Raja-Raja dan mereka perlu mengambil peranan proaktif untuk mempertahankannya. Abdul Aziz berkata tidak timbul soal kebimbangan kerana meskipun jumlah MP Melayu dan Islam didakwa kecil beliau berkata ia boleh diimbangi dengan melantik menteri Melayu dan Islam yang cukup.


“Bukan semua MP yang menyeberang itu akan dilantik menjadi Menteri. Mereka hanya akan menjadi penyokong kerajaan (backbenchers) di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat,” jelasnya lagi.

No comments: