Saturday, September 20, 2008

IBRAHIM MAHU HANTAR BALIK ORANG CINA?


Ibrahim semasa berucap di majlis Forum Kemerdekaan 30 Ogos lalu

KOTA BHARU : Baru-baru ini heboh digembar-gemburkan mengenai Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menganggap kaum Cina hanya ‘penumpang’ di bumi Malaysia semasa berceramah pada 25 Ogos lalu dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Tindakannya yang menimbulkan kemarahan ramai itu bagaimanapun tidak menghalang sesetengah pemimpin berbangsa Melayu yang lain mengeluarkan kenyataan hampir serupa.

Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali turut memberi pendapat seiras dengan Ahmad di Forum Kemerdekaan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mana beliau adalah Presiden.

Ibrahim yang berucap sebelum ucaptama yang disampaikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, telah mencadangkan tentang kemungkinan menghantar orang Cina balik ke negara China. Tidak diketahui niatnya sama ada sebagai gurauan atau rencah menyedapkan ucapan.

“Kalau kita hantar orang Cina balik ke Tanah China pun boleh kerana mereka berpeluang berniaga di sana yang kini sudah menjadi ‘world factory’ (kilang bagi dunia). Tetapi saya terfikir jika semua Cina balik, mati juga orang Melayu kerana kedai-kedai di sini dikuasai masyarakat mereka,” katanya sambil mengakui kaum Cina di negara ini terlibat sama dalam membangunkan negara.

Majlis di Kota Bharu itu yang membincangkan tentang Fasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan Bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu seolah-olah cuba dijadikan medan menaikkan kemarahan orang Melayu kepada bangsa lain dengan ucapan berapi oleh seorang bekas wakil rakyat Umno.

Salah seorang daripada tiga panelis forum yang dijemput pula bagaikan mempunyai ‘personal vendetta’ (dendam peribadi) kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dengan suara yang menggegar telah merujuk Anwar sebagai pemimpin pengkhianat bangsa (Melayu) kerana sikapnya yang terbuka dengan orang bukan Melayu.

Manakala ahli jawatankuasa majlis yang duduk di kalangan hadirin pula diperhatikan cuba memanaskan suasana dengan bersungguh-sungguh mengiyakan butir kata mana-mana panelis yang agresif membela ‘Melayu’ dan menegur sikap bangsa lain.

Penjelasan yang disampaikan pengerusi forum sendiri iaitu Prof Dr Mohamad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) seolah-olah tidak difahami majoriti hadirin yang menganggap hak-hak Melayu terancam akibat perbuatan ‘calon kerajaan baru’ yang mahu mengambil alih negara dan bukannya disebabkan pemerintahan selama lebih lima puluh tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno sebagaimana yang cuba diterangkan kedua-dua tokoh akademik tersebut.

No comments: