Friday, September 5, 2008

HUDUD - TANGGUNGJAWAB KERAJAAN FAHAMKAN RAKYAT

Petikan salinan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan. Ia mengandungi 72 seksyen dan enam bahagian tidak termasuk bahagian permulaan yang menerangkan tentang bila ia mula berkuatkuasa, tafsiran dan jenis-jenis kesalahan.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah.


KOTA BHARU : Selain daripada kekangan politik dan undang-undang, halangan paling utama pelaksanaan hukuman jenayah Islam adalah penerimaan rakyat sendiri tentang hukum tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga exco kerajaan negeri Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata masyarakat masih tidak faham kerna terpengaruh dengan dakyah Barat yang mengatakan hulkuman Islam tidak bertamadun.

“Orang Barat asyik mengatakan hukuman Islam ‘barbaric’ (kejam).Padahal di barat pun masalah jenayah tidak selesai. Undang-undang banyak berada di pihak penjenayah. Apabila seseorang disabit kesalahan bunuh, maka mereka akan kata jangan dihukum bunuh dia, kasihanilah dia. Tetapi kita tidak kasihan kepada orang yang mati dibunuh dan keluarga yang menanggung. Mentaliti ini yang perlu diubah,” katanya.

Untuk rekod, kes bunuh dalam Islam diletakkan di bawah hukuman takzir di mana keluarga mangsa diberi peluang untuk meminta bunuh balas atau bayaran denda ataupun pengampunan diberi kepada sipenjenayah.

Menurut Mohd Amar keadaan di Malaysia juga akan mengambil masa yang lama untuk menyedarkan rakyat.

“Rakyat tidak terdedah dengan apa itu hudud, orang Islam sendiri banyak tidak faham. Kita hanya nampak kerat tangan dan rejam, tapi orang tidak tengok kepada falsafah di sebalik hukuman dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum hukuman itu boleh dibuat.

“Contohnya dalam masalah mencuri, apabila kita baca dalam kitab Ahkamul Quran, tafsir yang ditulis Ibnu Arabi, salah seorang ulama’ mazhab Maliki, beliau meletak sehingga 20 syarat sebelum boleh dipotong tangan. Masyarakat tidak nampak benda ini. Orang nampak hanya potong tangan , tetapi proses untuk sampai kepada peringkat itu, banyak orang tidak tahu,” katanya.

Beliau memberitahu atas dasar inilah kerajaan Kelantan mengadakan Sambutan Hari Hududullah setiap tahun bagi mengingatkan rakyat dan memberi ilmu kepada mereka.

“Tanggungjawab kita yang paling besar adalah memberi penjelasan kepada rakyat supaya dia boleh nampak. Jadi bila dia tahu, maka tidak ada masalah lagi. Contohnya masalah dadah. Orang boleh terima hukuman gantung mandatori. Ia lebih dahsyat daripada hukuman kerat tangan.
"Tetapi rakyat Malaysia boleh terima. Sedangkan ia menyebabkan kehilangan nyawa. Orang yang mengedar dadah tidak bunuh orang, tapi kenapa kita boleh jatuhkan hukuman mati, negara boleh terima, rakyat boleh terima. Tetapi hukuman untuk mencuri dalam Islam hanya kerat tangan sahaja. Lojik-lojik inilah yang kita perlu ketengahkan kepada masyarakat dalam suasana mereka banyak dipengaruhi pemikiran daripada barat,” jelasnya lagi selepas merasmikan Ceramah Perdana Hududullah mewakili Menteri Besar Kelantan di Dewan Besar Balai Islam Lundang baru-baru ini.

Kelantan pernah meluluskan Kanun Jenayah Syariah 11 (1993) yang berkaitan tentang hukuman jenayah hudud tetapi dikatakan mendapat surat kata dua daripada Perdana Menteri pada ketika itu untuk tidak melaksanakannya. Kanun tersebut dirangka oleh ramai cendekiawan Islam termasuk Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu adiguru undang-undang Islam di negara ini satu ketika dahulu.

Sementara itu salah seorang ahli panelis dalam forum bertajuk ‘Hududullah Pemangkin Kemakmuran Negara’ sempena sambutan Hari Hududullah iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan majoriti rakyat masih tidak faham tentang hukuman jenayah mengikut Islam kerana maklumat tidak disampaikan kepada mereka seperti yang sepatutnya.

Katanya, ini disebabkan dasar Umno (Barisan Nasional) yang menjadi pemerintah tidak mahu menyalurkan ilmu yang wajib kepada rakyat.

“Beri kita peluang untuk menjelaskan kepada rakyat dalam kaca televisyen umpamanya, Insya Allah ia tidak akan mengambil masa yang lama,” kata beliau yang juga merupakan seorang peguam mewakili Pas.

Agak malang apabila didapati tidak ramai yang menghadiri majlis forum di dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV pada malam 13 Ogos tersebut. Tidak sampai dua ribu orang membanjiri lokasi itu yang selalunya di penuhi hadirin dengan jumlah berkali ganda.
Mungkinkah keghairahan rakyat lebih tertumpu kepada Muktamar Tahunan Pas ke-54 di Perak dan perkembangan pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada ketika itu ataupun mereka sebenarnya sudah tidak nampak kepentingan hukum hudud?

No comments: