Friday, September 26, 2008

CERITA SISI PERTEMUAN NIK AZIZ - CIKGU PA

"Saya tak tahu pun mereka berjumpa..."dakwa Husam.
Nik Aziz dan Cikgu Pa di JKR 10

Kiambang sudah bertaut – Nik Aziz

KOTA BHARU : Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui sedikit ‘perpecahan’ (kerenggangan) sudah terjadi antara beliau dengan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berikutan pandangan negatif Mustafa tentang pelan peralihan kuasa 16 September oleh Pakatan Rakyat yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tentulah (ada perpecahan). Tetapi tidak mengapa, walaupun sudah berpecah tapi kita bertaut balik,” kata Nik Aziz kepada pemberita.

“Kiambang tidak boleh tidak akan (beralih) apabila perahu lalu, tapi selepas itu ia akan bertaut balik,” katanya lagi. Mustafa telah dipanggil beliau untuk menemuinya di Kota Bharu pada 18 September lalu.

Mustafa dalam wawancaranya di lidah rasmi Pas, Harakah dalam keluaran 1374 menyatakan pimpinan tertinggi Pas sendiri tidak ghairah dengan pelan tersebut dan ‘tidak sempat’ mengkaji siapa pula yang ghairah. Katanya adalah lebih bermoral untuk Pas dan Pakatan Rakyat bekerja lebih kuat untuk meraih kepercayaan rakyat dalam pilihan raya akan datang dan bukan dengan cara ‘lompatan’ ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Beliau mengatakan peralihan kuasa tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat dan memberikan pelbagai alasan teknikal seperti Parlimen tidak bersidang di bulan Ramadhan. Kenyataan Mustafa yang tidak senada dengan pimpinan seperti Nik Aziz dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa itu seperti cuba menghentikan momentum pelan peralihan kuasa dan dilihat memberi bonus kepada BN. Kata-kata beliau turut dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Nik Aziz dalam keluaran Harakah berikutnya menyifatkan Mustafa telah menyanggahi keputusan Muktamar Pas Ogos lalu yang bersetuju sebulat suara memperkasakan Pakatan Rakyat. Beliau berkata Mustafa bercakap sepeti orang Umno. Dalam laporan Harakah tersebut, Mursyidul Am Pas itu memberikan bayangan tidak menjadi masalah sekiranya sesiapa yang berlawanan dengan keputusan parti untuk keluar dari Pas sama seperti tindakan Yang Dipertua Pas dahulu, Allahyarham Datuk Asri Muda.

“Ada sekali-sekala ayah dan anak adalah (berbalah) tetapi tidak mengapa. Apabila kita berjumpa semula antara satu sama lain, keadaan sebenar dapat diperjelaskan. Ayah sayang kepada anak, anak hormat kepada ayah,” kata Nik Aziz selepas pertemuan untuk menjernihkan keadaan dengan Mustafa itu.

Sementara itu Mustafa berkata beliau menganggap hubungannya dengan Nik Aziz seperti ayah dan anak.

“Ada masa anak akan ditegur oleh ayah. Apabila Tuan Guru tegur saya dalam Harakah, saya telah memberi pesanan sms kepada Annual (Setiausaha Politik Nik Aziz) sampaikan terima kasih saya kepada Tuan Guru. Saya percaya tentu ada sesuatu kenapa beliau tegur saya dan hari ini baru saya faham sebabnya, “ katanya. Beliau enggan menyatakan apa penjelasan yang telah dibuat.
Ujarnya, tidak ada krisis berlaku dalam Pas dan tidak wujud pergeseran sebagaimana disangka banyak pihak.

Sejurus selepas Mustafa beredar dari kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan tersebut, Husam dilihat tiba berjumpa dengan Nik Aziz. Naib Presiden Pas itu walaubagaimanapun menafikan tahu ada pertemuan telah berlaku antara Nik Aziz dan Mustafa ketika beliau ditanya pemberita di perkarangan Mahkamah Majistret Kota Bharu selepasnya.

“Saya tidak tahupun dia datang. Ada atau tidak perjumpaan itu saya tidak tahu,” katanya ketika hadir memberikan sokongan kepada penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz, 38, yang ditahan reman atas tuduhan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan.

No comments: