Monday, March 31, 2008

SAMY BUAT LAWAK!

ADALAH MENJADI LAWAK BESAR SATU LAWAK BESAR APABILA PADA 30 MAC 2008, DATUK SERI SAMY VELLU MEMOHON KEPADA PAK LAH SUPAYA MEMBEBASKAN LIMA PEMIMPIN HINDRAF YANG DITAHAN DI BAWAH ISA. HA HA HA HA HA HA HA HA HA HA HA HA HA HA...........................................................

Tuesday, March 25, 2008

ARTIKEL PILIHAN STELLA - ANTILOMPAT?

Dr Shamrahayu A.Aziz

Antilompat, antijual beli?
24 MAC 2008 UTUSAN MALAYSIA
Oleh NORAINI ABD. RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)



PERKEMBANGAN terbaru politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan munculnya pelbagai episod yang mencabar keupayaan minda rakyat di negara ini untuk berfikir secara lebih matang dan bijak.
Ini termasuk timbulnya cadangan supaya digubal satu undang-undang untuk menyekat wakil rakyat daripada melompat parti.
Cadangan yang datang daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim itu didorong oleh kebimbangan tentang kecenderungan pembangkang - dalam hal ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) - yang dikatakan berusaha memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat ke parti tersebut.
Inisiatif yang didakwa diterajui oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi melunaskan cita-cita pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan yang tidak kesampaian biarpun prestasi mereka dalam pilihan raya lalu ternyata mengejutkan semua.
Anwar sendiri menjaja hasratnya itu apabila beliau menzahirkan kesediaan untuk menubuhkan kerajaan sekiranya PKR berjaya mendapat tambahan 30 kerusi.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Prof. Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Shamrahayu A. Aziz melihat kenyataan Anwar itu amat berkait rapat dengan usaha untuk memujuk wakil rakyat BN supaya melompat parti.
Apa yang dimaksudkan oleh Anwar ialah perolehan kerusi tersebut boleh berlaku sekiranya Ahli-Ahli Dewan Rakyat BN melompat parti - atas apa alasan jua.
Inilah antara faktor yang dibimbangi oleh pimpinan tertinggi BN,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Sememangnya, menurut Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan itu, lompat parti adalah sesuatu yang ditakuti oleh semua parti politik, lebih-lebih lagi parti politik yang memerintah dengan majoriti yang sedikit.
Ini kerana katanya, lompat parti adalah berpaling tadah - mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan tersebut bertukar arah dan lebih parah lagi, menentang parti asal.

Menurut beliau, sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.
“Akibatnya ialah, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya akan mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di dalam Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri,’’ katanya.
Beliau menyifatkan tindakan melompat parti setelah memenangi pilihan raya bukan sesuatu yang sihat dan patut disokong. Ini kerana seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat. Katanya, walaupun mungkin Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia merupakan satu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat dan satu perbuatan tidak bermaruah.

Dr. Shamrahayu menarik perhatian mengenai cadangan agar digubal undang-undang antilompat parti seperti yang dicadangkan oleh Zaid bagi menyekat Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri daripada bertukar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.
Sebelum mengupas lanjut, beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1993 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan dan lain-lain lwn Nordin bin Salleh dan lain-lain.
Dalam kes tersebut, Nordin dan rakannya telah memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihan raya umum yang diadakan pada Oktober 1990 menerusi parti Semangat 46.
Mereka seterusnya telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan. Setelah itu mereka telah “lompat parti” dengan meninggalkan Semangat 46 dan menyertai UMNO. Perlembagaan Negeri Kelantan telah dipinda pada April 1992.
Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan bahawa, sekiranya seorang Ahli Dewan Negeri meninggalkan parti atau dipecat dari parti, atau atas apa-apa sebab tidak lagi menjadi ahli parti tersebut, maka kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya akan menjadi kosong.
Kuasa
Dan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan mengenai kekosongan kerusi tersebut.
Dengan itu, kerusi yang diwakili Nordin telah diisytiharkan kosong oleh Dewan Undangan Negeri. Pindaan kepada Perlembagaan Negeri Kelantan telah dicabar oleh Nordin atas alasan ia bertentangan dengan hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Hujah tersebut telah diterima oleh Mahkamah Agung dengan sebulat suara dan mahkamah memutuskan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Kelantan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan berpersatuan.
Menurut Dr. Shamrahayu, satu isu lain yang timbul ialah apakah sekatan terhadap hak kebebasan berpersatuan ini boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri. Seperti yang disebut di dalam Perkara 10(2)(c), hanya Parlimen yang boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Maka semestinya sekiranya sekatan tersebut dibuat oleh badan perundangan yang lain daripada Parlimen, dalam kes Nordin ini, Badan Perundangan Negeri, maka undang-undang tersebut boleh dikatakan tidak sah hanya kerana badan perundangan tersebut telah bertindak di luar bidang kuasa.

Ditanya adakah Parlimen boleh menggubal apa yang disebut “anti-hopping law”, Dr. Shamrahayu meninjau Perlembagaan menerusi Perkara 10(2)(c) yang menetapkan tujuan bagi menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Antaranya ialah untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau kepentingan ketenteraman awam atau kepentingan moral.
Maka persoalan yang lahir ialah, adakah Parlimen boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan hanya kerana kepentingan politik, yang tidak termasuk dalam alasan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
Justeru, berasaskan kepada keputusan mahkamah dalam kes Nordin, Dr. Shamrahayu berpendapat, kedudukan undang-undang bagi menyekat hak kebebasan berpersatuan agak jelas.
‘‘Saya tidak menolak kemungkinan, sekiranya undang-undang tersebut digubal, ia akan mengalami nasib yang sama seperti yang telah dialami oleh Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan,’’ katanya.

Menurut beliau, adalah lebih bermanfaat bagi para pemimpin politik atau menteri-menteri memikirkan untuk memulihkan imej parti daripada memikirkan bagaimana untuk menyekat para ahli yang secara sukarela ingin meninggalkan parti politik mereka atas apa alasan jua, asalkan mereka tidak dibeli oleh parti politik yang lain.
Katanya, mungkin undang-undang menyekat jual beli kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri boleh dibincangkan lagi, tetapi bukan undang-undang menyekat lompat parti.
‘’Walau apa pun, undang-undang bukanlah jalan terbaik yang boleh menyekat pertukaran parti,’’ katanya.

ARTIKEL PILIHAN STELLA - ANTARA PUSAT DAN NEGERI

Antara Pusat dan negeri

22 Mac 2008 UTUSAN MALAYSIA
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)

APABILA Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke tangan pembangkang, maka timbul persoalan adakah hubungan kerajaan di kelima-lima negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan akan terputus.

Adakah antara kerajaan negeri dan Pusat akan berkerat rotan, berpatah arang – semata-mata kerana jurang yang amat melebar di antara kedua-duanya?

Perlukah kesemua negeri yang rakyatnya memilih untuk bernaung di bawah pentadbiran parti pembangkang (kini bergelar pemerintah) ‘dihukum’ dengan cara tidak ‘dihubungkan’ kepada Pusat lantaran membuat keputusan seumpama itu?
Sememangnya menarik untuk disorot hasil pilihan raya yang berlangsung pada 8 Mac lalu apabila angka satu bertambah menjadi lima – semestinya ia membawa dimensi baru dalam konsep federalisme yang selama ini menjadi teras pemerintahan di Malaysia.
Biarpun bukan perkembangan terbaru kerana Kelantan telah pun diperintah oleh Pas selama 18 tahun, manakala Terengganu pernah juga ditadbir oleh parti yang sama biarpun hanya untuk tempoh lima tahun.
Namun perancangan ekonomi yang melibatkan sumber kewangan Kerajaan Persekutuan di negeri-negeri berkenaan terutamanya projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyebabkan isu federalisme ini berbangkit semula.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Shamrahayu A. Aziz ketika diajak memperkatakan perihal tersebut berkata, konsep federalisme umumnya melibatkan pemerintahan dua peringkat iaitu Persekutuan dan negeri.
Walaupun begitu, katanya, konsep federalisme tidak terikat atau terhad kepada satu jenis pemerintahan federalisme sahaja.
Pun begitu, federalisme mempunyai beberapa prinsip asas.
Antara dua prinsip asas tersebut ialah Kerajaan Persekutuan memberi kuasa autonomi kepada negeri-negeri dan memberi layanan sama rata antara negeri-negeri yang membentuk Persekutuan.
Maksudnya, dalam konsep negara persekutuan hendaklah wujud dasar tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri mengenai perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ini dapat dilihat dalam peruntukan Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
‘’Perkara dasar dalam federalisme juga bahawa setiap negeri harus diberi layanan yang sama rata,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun perkara dasar ini tidak dimasukkan secara jelas di dalam Perlembagaan, menurut penolong profesor itu, ia merupakan amalan dan prinsip asas konsep federalisme.
Ini kerana federalisme bukan hanya berkaitan pembahagian kuasa antara dua peringkat kerajaan, tetapi ia melibatkan bagaimana pelaksanaan pentadbiran itu sendiri.
Ditanya mengenai asas kewujudan konsep federalisme itu, katanya, ia adalah didorong oleh faktor sejarah dan terdapat dua tujuan asal pembentukan negara Persekutuan.
Pertama, bagi tujuan membantu negeri-negeri yang miskin dengan cara negeri yang lebih kaya menyumbang kepada negeri yang miskin.
Keduanya ialah bagi menjamin keselamatan negeri-negeri yang menyertai Persekutuan (The main purpose in setting up a federal type of goverment is to help the states that are economically and/or militarily weak).

Menonjol
Menurut Dr. Shamrahayu, mungkin sebelum ini dimensi pemerintahan federalisme tidak begitu menonjol kerana hanya satu atau dua negeri sahaja yang diperintah oleh parti politik berbeza dengan Kerajaan Pusat.
‘‘Mungkin hanya pemerintah negeri Kelantan yang mengetahui dasar sebenar Kerajaan Pusat terhadap negeri tersebut yang diperintah oleh kerajaan berlainan politik, yang selalu dirujuk sebagai kerajaan pembangkang,’’ katanya.
Katanya lagi, isu federalisme tidak penting di negeri-negeri lain kerana mereka diperintah oleh parti politik yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau memberi contoh dalam kes Kerajaan Malaysia lawan kerajaan Negeri Kelantan dalam tahun 1968, yang mana kerajaan Persekutuan telah mencabar cara bagaimana kerajaan Kelantan pada masa itu.
Walaupun keputusan mahkamah menyebelahi kerajaan Kelantan, fokus di sini bukan bertujuan untuk menunjukkan siapa yang menang dan siapa yang kalah, tetapi apa yang jelas ialah, Kerajaan Persekutuan telah meletakkan tekanan ke atas kerajaan negeri dalam hal membuat pinjaman bagi meningkatkan pendapatan negeri.
Seperti yang dimaklumi, selepas keputusan kes tersebut, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi memperjelaskan kuasa negeri-negeri untuk membuat pinjaman kewangan.
‘’Melihat kepada senario sekarang, setelah terdapat lima negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berbeza parti politik dengan kerajaan pusat, maka satu dimensi baru harus diberikan dalam konteks pemerintahan federalisme,’’ katanya.
Katanya, mungkin tindakan memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan negeri bukan lagi satu metod yang terbaik dan berkesan – sebagai bukti, Kelantan kekal di bawah kerajaan pembangkang walau apa cara sekalipun yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.
Dalam dimensi ini, menurut pemerhatian beliau, pihak Kerajaan Pusat tidak sepatutnya memberi layanan berbeza atau tekanan kepada negeri-negeri tersebut.
“Jangan dianaktirikan negeri-negeri berkenaan,’’ katanya.
Ini kerana, ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip asas sebuah negara Persekutuan bahkan juga tidak akan memberi implikasi positif terhadap reputasi Kerajaan Pusat.
Dalam kata lain, bagi tujuan politik, ia tidak akan memihak kepada Kerajaan Pusat dan ia mungkin boleh dijadikan isu politik pihak pembangkang. Mungkin emosi yang membelenggu para pemimpin BN di Pulau Pinang telah mendorong mereka mengusulkan kepada Perdana Menteri agar menarik balik peruntukan projek mega di negeri itu.
Namun kenyataan Perdana Menteri untuk meneruskan projek-projek yang telah diluluskan oleh BN memperlihatkan tindakan positif.
Ia tidak dianggap sebagai dendam politik BN kepada parti pembangkang umumnya dan rakyat khasnya. Mungkin ini boleh dilihat sebagai cara terbaik untuk Kerajaan Pusat.

Friday, March 21, 2008

AURA TOK GURU DI MALAM KEMENANGAN PAS




Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa melangkah turun dari Pejabat Badan Perhubungan Pas Kelantan pada malam keputusan Pilihanraya Umum ke 12 , 8 Mac lalu. Mursyidul Am Pas itu telah disambut dengan laungan takbir tanpa henti oleh para penyokong yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak muda yang pulang dari rantau. Lebih 5,000 orang telah berkumpul di perkarangan pejabat Pas tersebut bagi menunggu keputusan pilhan raya.

Monday, March 17, 2008

'BEKAS BAKAL MENTERI BESAR KELANTAN'

Tinggal kenangan... Poster Bekas Bakal Menteri Besar Kelantan, Datuk Awang Adek Hussein yang kalah di Dun Perupok dan Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum Ke 12 baru-baru ini. Beliau kecundang di tangan Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sebelum ini dengan majoriti yang diperolehi Nasharuddin hampir sekali ganda melebihi dari yang diperolehi Awang pada 2004. Beliau juga tersungkur di kaki orang lama Pas Kelantan, Datuk Omar Mohammed di Dun Perupok dengan majoriti yang meningkat bagi Omar. Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan Umno Kelantan mencanang Awang sebagai 'bakal Menteri Besar' sebagai satu 'political assasination' yakni pembunuhan karier politik ke atas beliau. Nasharuddin mendapat 28,835 undi berbanding Awang sebanyak 25,934 manakala Omar mendapat 9,505 undi berbanding 8,235 undi yang diperoleh 'Bekas Bakal Menteri Besar Kelantan'.

TUNGGU NIK AZIZ DI STADIUM SHAH ALAM!


Nik Aziz sedang menyampaikan ceramah di malam meraikan kemenangan Pas di Kelantan

KOTA BHARU : Kemenangan pakatan Barisan Alternatif (BA) di lima negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu membawa kepada terbukanya peluang kepada banyak perkara. Antaranya yang mungkin tidak terlintas di pemikiran ramai sebelum ini adalah mendengar ceramah dari Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di bangunan gergasi binaan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil.


Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ketika berucap di majlis ceramah sempena kemenangan kerajaan Islam Kelantan baru-baru ini berkata kini tiada sekatan lagi bagi pimpinan seperti Nik Aziz untuk mengadakan ceramah di negeri seperti Selangor kerana ia sudah jatuh ke tangan BA atau gelaran yang lebih tepat Barisan Rakyat.


“Dulu apabila Tuan Guru Nik Aziz hendak berceramah di Selangor, beliau telah dihalang dengan cara yang tidak sepatutnya. Hari ini kesemua pintu masjid di Selangor telah terbuka buat kita semua.
“Akan tiba masanya nanti juga kita dapat mendengar ceramah Nik Aziz di Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil,” katanya sambil disambut sorakan ribuan hadirin yang memenuhi ruang dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV.


Husam menyifatkan kemengan BA di lima buah negeri iaitu Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebagai satu kurniaan dari Allah dan semua pihak tidak harus leka.
“Kita patut ambil momentum dari kemenangan ini untuk membina kekuatan agar mencapai kejayaan pada pilihan raya umum yang ke 13 pula,” katanya.


Beliau juga bangga dengan perkembangan dalam negara di mana bukan sahaja rakyat yang bangkit melakukan perubahan bahkan institusi raja juga telah memainkan peranan untuk membetulkan kepincangan dalam negara.


Untuk rekod, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah menjadi perantara yang cemerlang dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam pembentukan kerajaan campuran di Perak. Manakala Sultan Kedah pula tanpa berlengah menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar. Dan yang paling mengejutkan, di negeri yang dimenangi BN, Raja Perlis telah menolak pelantikan semula Datuk Seri Sahahidan Kassim sebagai Menteri Besar sebaliknya mengurniakan warkah pelantikan kepada Datuk Dr Isa Md Sabu, bekas exco kerajaan negeri yang diketepikan pada 2004.



Sunday, March 9, 2008

KOMEN TERPILIH PRU 12 (sama ada yang bodoh atau bijak)


Pengerusi Bernama, Datuk Mohd Annuar Zaini

"Semua mesti akur bahawa keputusan yang kita lihat pada pilihan raya kali ini datangnya dari ketentuan dan ketetapan Allah. Pihak yang menang haruslah merendah diri, manakala yang kalah mesti melihat balik kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan" katanya semasa ditemubual pengacara TV3 pada pagi awal 9 Mac 2008.

Pengacara TV3, Ahmad Fedtri Yahya

"Apakah sebenarnya kita (BN dan UMNO dan yang bersekongkol dengannya) tidak dapat menjangka keputusan ini kerana ada pengundi (rakyat) yang bermuka-muka? "

TAKBIR !

ALLAHU AKBAR !

Saturday, March 8, 2008

WAWANCARA PILIHAN STELLA




WAWANCARA PILIHAN STELLA

Wawancara berikut telah disiarkan Berita Minggu pada 2 Mac 2008 bersama Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Masyarakat pelbagai kaum lebih yakin hala tuju, wawasan dan komitmen kepemimpinan sekarang MANIFESTO pilihan raya bagi sesetengah orang mungkin tidak penting, malah ada yang tidak membaca dokumen yang sebenarnya amat penting. Bagaimanapun, belum terlambat untuk setiap rakyat meneliti manifesto yang dikemukakan setiap parti politik, sama ada Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang. Bagi yang tidak berkesempatan, manifesto sebenarnya dapat dilihat dalam ucapan penceramah parti politik, tetapi diambil secara terpilih. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, mendapatkan pandangan pengkaji politik, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapat ulasan terperinci mengenai peranan dan pengaruh manifesto dalam pilihan raya umum.


SEJAK pilihan raya pertama pada 1955 dan kemudian pilihan raya umum pertama pasca kemerdekaan pada 1959, manifesto pilihan raya adalah perkara wajib. Apakah kepentingan manifesto?


Manifesto pilihan raya penting kerana dua sebab utama. Pertama, ia adalah janji dan komitmen parti politik yang bertanding mengenai perkara yang akan mereka lakukan sekiranya dipilih rakyat untuk memerintah.

Kedua, ia menunjukkan landasan dan wawasan kepemimpinan sesebuah parti untuk membawa hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang jika parti itu dipilih untuk memerintah. Memang benar manifesto adalah janji politik, tetapi janji ini adalah satu dokumen yang boleh dilihat dan dinilai oleh rakyat kemudiannya, sama ada parti yang menang dan membentuk kerajaan melaksanakan apa yang dijanjikan atau sebaliknya.


Apakah ada perbezaan manifesto Barisan Nasional (BN) sejak zaman Perikatan hingga yang digunakan dalam pilihan raya umum kali ini?

Saya tidak nampak ada perbezaan ketara penggunaan manifesto BN sejak zaman Perikatan hingga kini. Sejak dulu lagi, walaupun dengan bahasa dan penekanan berbeza, manifesto BN hanya tertumpu kepada empat perkara. Inilah kekuatan BN yang sentiasa digunakan untuk memenangi hati rakyat. Empat perkara berkenaan ialah perpaduan dan hubungan kaum, permuafakatan serta kerjasama politik antara kaum, kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara dan akhirnya mengekalkan kestabilan politik. Hingga setakat ini, teras manifesto BN diterima rakyat sebagai yang terbaik berbanding manifesto parti lain. Penerimaan inilah yang menyebabkan BN kekal memerintah hingga Dewan Rakyat dibubarkan pada 13 Februari lalu.


Bagaimana dengan manifesto parti pembangkang?

Manifesto pembangkang sama saja, iaitu dibuat untuk menarik sokongan rakyat terhadap parti masing-masing. Seperti BN, parti pembangkang juga menyediakan manifesto mereka mengikut keperluan semasa. Jika BN menumpukan kepada empat perkara teras yang saya sebutkan tadi, pembangkang pula menjanjikan perkara berkaitan isu semasa, ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.


Jadi, bezanya dengan BN ialah jika manifesto BN lebih menekankan kepada keperluan negara, parti pembangkang pula membawa manifesto mereka dengan lebih menekankan kepada soal keperluan rakyat. Satu lagi yang menarik mengenai manifesto pembangkang ialah persamaan di kalangan mereka dalam memperjuangkan isu sejagat berkaitan keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia. Janji pembangkang dalam aspek ini amat menarik untuk diperhatikan, sama ada ia dapat menandingi empat teras utama manifesto BN yang saya sebutkan tadi atau sebaliknya.


Adakah manifesto parti pembangkang ini bernilai kerana ramai yang tahu ia tidak akan mampu membentuk kerajaan?


Saya tidak katakan manifesto pembangkang tidak bernilai. Manifesto semua parti adalah bernilai. Bagaimana kita hendak katakan tidak bernilai jika apa yang diperjuangkan itu menjanjikan kesejahteraan masyarakat, keadilan untuk rakyat, mewujudkan sistem kehakiman yang berintegriti. Saya fikir itu mustahak. Cuma yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah manifesto pembangkang itu dapat direalisasikan? Bolehkah mereka laksanakan? Mampukah mereka memenangi pilihan raya ini?


Masyarakat kita malas membaca. Adakah manifesto pilihan raya menerima nasib yang sama?


Rakyat mungkin tidak membaca dan cuba memahami manifesto setiap parti secara mendalam. Jika mereka tidak membacanya, tetapi saya tidak mengatakan masyarakat kita malas membaca. Cuma masyarakat kita tidak membaca manifesto kerana berasakan tidak perlu menentukan pendirian dan sikap politik mereka. Oleh itu, bagi membolehkan rakyat faham hala tuju dan janji parti masing-masing, maka menjadi tugas penceramah menyampaikannya dalam bentuk yang lebih mudah kepada rakyat. Bagi penceramah politik, manifesto perlu dibaca kerana ia adalah panduan kepada mereka ketika berceramah untuk menyampaikan hasrat parti kepada pengundi. Bagaimanapun, manifesto penting kepada pemerhati dan pengkaji politik kerana ia dokumen yang perlu digunakan untuk dianalisis. Manifesto hari ini akan dinilai semula dalam pilihan raya akan datang untuk melihat sama ada janji politik hari ini ditunaikan atau sebaliknya dalam empat atau lima tahun dari sekarang.


Selepas 11 pilihan raya umum, adakah BN yang menguasai kerajaan menunaikan janji manifesto?


Secara peribadi, saya tidak mahu mana-mana parti menawarkan manifesto yang keliru. Manifesto bukan sekadar harapan dan janji politik. Manifesto adalah komitmen parti politik dan perlu bersifat jangka pendek kerana rakyat lebih suka melihat kesan segera kepada janji diberikan itu. Sebaik-sebaiknya, selesai saja pilihan raya, janji politik itu ditunaikan segera sebelum pilihan raya yang akan datang. Tidak perlu kita berjanji hari ini untuk satu perancangan yang akan kita laksanakan 10 tahun dari sekarang.


Manifesto DAP menawarkan bonus RM6,000 kepada setiap isi rumah. Ini pun kesan segera?


Pada saya, janji sebegini seperti mengail di daratan. Secara logik, jika hendak mengail biarlah di sungai yang umpannya dimakan ikan. Oleh itu, janji seperti ini bukan kesan segera yang maksudkan.


Yang saya maksudkan kesan segera ialah isu lain yang lebih penting yang boleh dan perlu di ketengahkan. Antaranya, janji politik yang lebih substantif seperti isu sejagat berkaitan keadilan, demokrasi, kesetaraan, kebebasan, kesejahteraan hidup dan kestabilan politik yang lebih diperlukan oleh rakyat dan negara. Misalnya, katakanlah kalau DAP menang, maka akan dihapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Universiti dan Akta Kolej (AUKU), itu lebih logik dan menampakkan kesan segera. Isu yang remeh perlu diketepikan dalam manifesto.


Apakah manifesto BN lebih memberi impak?


Saya jelaskan pada awal bahawa manifesto BN kukuh berdasarkan kepada empat asas utama, iaitu mengekalkan kestabilan politik negara, memakmurkan ekonomi dan kehidupan rakyat, menjaga keharmonian hubungan kaum dan mewujudkan kerjasama politik antara kaum. Dengan janji inilah sejak merdeka hingga sekarang, BN dapat memenangi hati rakyat untuk terus menyokongnya kerana kekuatan ini tidak ada dalam manifesto dan keupayaan pembangkang. Begitupun, saya fikir ada beberapa persoalan lain yang perlu diberi perhatian juga seperti demokrasi, keadilan, kehakiman dan hak asasi rakyat. Dari segi teori, tidak maju sesebuah negara itu tanpa pemerintahan demokratik yang mendokong dua unsur utama, iaitu kebebasan dan kesetaraan. Jika begitu, bagaimana dengan hasrat kita untuk mewujudkan sebuah negara maju pada 2020 nanti.


Dari segi rasional, pembangkang boleh berjanji macam-macam kerana tahu tidak akan mampu memerintah. Untuk menarik pengundi, manifesto pembangkang menjanjikan sesuatu yang membahagiakan rakyat?


Sekadar berjanji dan memberikan harapan, itu politik main-main. Saya tidak fikir ada parti yang tidak serius dan sekadar berjanji untuk membahagiakan rakyat, tetapi tidak mampu melaksanakannya. Cuma dalam konteks janji ini, saya boleh katakan sukar untuk pembangkang laksanakan janji politiknya kerana pembangkang tidak mempunyai harapan yang besar untuk memenangi pilihan raya dengan pendekatan politik sekarang. Bagaimana nak menang pilihan raya kalau pembangkang tidak mempunyai banyak cawangan parti, jentera parti lemah, menghadapi kekangan kewangan dan media perdana pula tidak memberi liputan meluas kepada pembangkang.


Cuma persoalannya, kalau pembangkang boleh memberi janji dalam manifesto mereka biarpun tahu tidak boleh memerintah, kenapa BN tidak boleh memberi komitmen lebih baik untuk memakmurkan rakyat dan negara berbanding pembangkang. Misalnya, jika pembangkang menawarkan negara kebajikan, kenapa BN tidak boleh menawarkan negara workfare? Saya hairan seperti sekarang, ketika pembangkang bercakap mengenai keadilan, hak asasi manusia dan demokrasi terhakis, mengapa manifesto BN tidak boleh memberikan komitmen untuk menangani masalah ini secara lebih baik.


Mengapa BN tidak berani menjawab persoalan itu melalui manifesto? Ini yang saya nampak kekurangan manifesto BN sejak dulu hingga sekarang. Bagaimanapun, saya yakin dari segi keupayaannya memerintah Malaysia yang majmuk ini. Rakyat tetap memerlukan kerajaan yang mengandungi parti pelbagai kaum seperti BN, tetapi ada perkara lain yang kita perlu perbaiki. Perkara inilah yang perlu disuarakan supaya kita boleh bergerak ke depan. Kalau kita berterusan pada tahap ini, sukar kita mencapai tahap negara maju pada 2020.


Tidak seperti pilihan raya umum sebelum ini, manifesto Pas kali ini tidak menyentuh perjuangan menegakkan negara Islam. Apakah sebenar berlaku?


Dari satu aspek, tindakan Pas adalah dinamika politik yang menunjukkan strategi dan pendekatan politik boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Jika atas hujah ini, tindakan Pas adalah biasa saja kerana konsep negara Islam boleh dinyatakan, sama ada secara tersirat atau tersurat dalam manifesto. Namun, dari segi lain, ini menunjukkan Pas menyedari hakikat sebenar politik negara, bahawa untuk menang dalam pilihan raya, tidak boleh bergantung kepada sokongan satu kaum saja.


Tidakkah ini menunjukkan Pas mengorbankan prinsip perjuangan demi mencapai kemenangan?


Prinsip perjuangan mana-mana parti pun adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan bagi membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat. Pas juga tidak terkecuali dalam hal ini. Negara Islam hanya satu alat untuk mencapai matlamat. Persoalan yang perlu dijawab ialah, kenapa Pas tidak lagi menjadikan negara Islam sebagai alat perjuangannya? Apakah Pas sudah tidak yakin kepada konsep negara Islamnya atau pertimbangan lain? Apakah Pas mengambil kira perkiraan ini ketika menggugurkan konsep negara Islamnya? Inilah yang perlu dijawab. Saya fikir Pas bertindak begini kerana ia sedar politik tidak boleh bergantung kepada satu isu dan satu kaum saja. Untuk menang dalam pilihan raya, ia terpaksa mendapat sokongan kaum lain.


Menyedari hakikat itu, barangkali Pas mengambil pendekatan lebih taktikal untuk mengubah manifestonya daripada sesuatu yang hanya untuk satu kaum kepada yang bersifat sejagat dan merentasi sempadan kaum serta agama. Dari segi mengorbankan prinsip perjuangan, sukar untuk saya komen tetapi yang pasti dalam politik, kita tidak bercakap mengenai keikhlasan, tetapi komitmen. Apakah Pas masih komited menegakkan negara Islam yang ia perjuangkan sejak dulu? Pengundilah yang akan menjawab persoalan ini pada 8 Mac ini.


Selepas dibaca atau diketahui, meskipun secara terpilih dan difahami, sejauh manakah manifesto memberi kesan kepada pengundi untuk memilih parti pada hari pengundian?


Di negara Barat yang demokratik, manifesto memberi kesan yang cukup ketara kepada parti politik dan calon yang bertanding kerana pilihan raya ialah mengenai persaingan dasar. Lagipun, manifesto akan dibahas dan didebat secara terbuka oleh calon dan parti bertanding untuk membolehkan rakyat membuat pilihan. Di Malaysia, walaupun manifesto penting, selain faktor imej parti, wibawa calon, kemantapan jentera pilihan raya, kewangan, media massa, dan imej perpaduan menentukan kemenangan sesuatu parti dalam pilihan raya, manifesto tidaklah sepenting di negara Barat.


Di Malaysia, manifesto dilihat bukan sebagai dasar, tetapi sekadar janji, azam dan landasan hala tuju yang hendak dibawa oleh parti politik jika dipilih rakyat untuk memerintah. Jadi, jawapan saya mengenai keberkesanan manifesto di Malaysia dilihat dalam konteks ini, iaitu janji politik. Di Malaysia, manifesto penting untuk menarik sokongan pengundi atas pagar. Misalnya, sekarang pengundi atas pagar lebih tertarik kepada janji pembangkang kerana menawarkan lebih banyak bentuk kebajikan, tetapi pengundi tradisi memahami lebih jauh, iaitu kestabilan. Itu yang ditawarkan oleh BN yang tiada pada pembangkang. Selain itu, manifesto penting untuk membolehkan rakyat mengetahui mengenai faedah yang akan diperoleh apabila mengundi sesuatu parti. Selebihnya, saya tidak melihat manifesto sebagai faktor penting dalam menentukan sikap pengundi.


Terakhirnya, apa pesanan kepada pengundi untuk mengundi nanti?


Saya meminta kepada semua warga negara yang layak mengundi ramai-ramai keluar mengundi pada 8 Mac ini bagi memilih parti yang dirasakan terbaik untuk memerintah negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang. Ingatlah, masa depan negara terletak pada undi kita.

Friday, March 7, 2008

CALON BN MAHU MARTABAT ISLAM


Gambar papan iklan yang memaparkan calon Dun Bunut Payung Barisan Nasional (BN) Rosmadi Ismail dengan penuh "keimanan" sedang mengangkat tangan "berdoa" kepada Allah agar memberkati usahanya menawan kembali Kelantan dari Pas. Rosmadi adalah tuan punya projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang diperolehinya secara runding terus dengan nilaian kontrak yang lebih tinggi dari harga asal. Rosmadi mendakwa mahu "memartabatkan Islam" sebagai addin di Kelantan.

POS KG CINA TETAP MILIK PAS

Keratan akhbar Utusan Malaysia "Kaum Cina ganti pos Pas kepada BN" yang disarkan pada 28 Februari 2008


Pos Pas di Kg Cina yang dikatakan telah ‘jatuh’ ke tangan BN. Masih penuh dengan gambar Tok Guru.
Chua Ian Hui , Ketua Pos Kg Cina

POS KG CINA TETAP MILIK PAS

KOTA BHARU : ‘Kaum Cina ganti pos Pas kepada BN’. Begitulah tajuk berita yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 28 Februari lalu apabila melaporkan tentang masyarakat Cina yang membuka sebuah pos Pas di Kg Cina di bawah peti undi Penambang telah menurunkan lambang dan bendera Pas di situ dan menggantikannya kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam laporan tersebut dinyatakan calon BN bagi Parlimen Pengkalan Chepa, Ir Rahim Mohd Zain telah datang ke pos yang terletak berhampiran Tokong Mek bagi menyerahkan vest dan bendera BN kepada 100 penyokong yang sudah beralih kepada BN akibat tidak puas hati.

Kumpulan itu diketuai seorang lelaki Cina bernama Tan Peng Soon, 52 tahun.

Tinjauan yang dibuat ke pos terbabit mendapati ia tetap menjadi milik Pas dan apabila ditanya kepada mereka yang mengawal pos tersebut mereka memberitahu apa yang tersiar di akhbar Utusan itu adalah ‘lakonan’ semata-mata.

Ketua pos Kg Cina, Sdr Chua Ian Hui, 38 yang ditemui berkata kejadian ‘pengambilalihan’ itu berlaku di siang hari ketika kesemua orang yang bertanggungjawab menjaga pos itu pergi bekerja.

“Kami penyokong Pas sudah membuka pos ini sehari sebelum penamaan calon. Ini memang sudah jadi tempat kami berkumpul sejak awal lagi

“Lelaki bernama Tan Peng Soon yang dikatakan mengetuai kumpulan orang yang berpaling tadah itu bukannya penyokong Pas pun. Dia hanyalah seorang peniaga kedai makan yang tidak puas hati tidak diberi lesen berniaga minuman keras,” kata Chua.

Menurutnya kedai makan Tan terletak di sebelah pos Pas dan dia mungkin telah dipengaruhi oleh sesetengah pihak untuk bertindak sedemikian.

“Majoriti orang Cina di sini menyokong Pas sejak sekian lama. Hanya sebilangan kecil sahaja yang masih dengan MCA. Bilangan 100 orang yang didakwa menyokong itu adalah satu pembohongan,” kata Chua lagi.

Tambahnya wartawan yang datang membuat laporan insiden tersebut mungkin telah silap faham dengan apa yang sebenarnya telah terjadi.

“Orang Cina di sini tahu tentang masalah yang berlaku dalam negara kita. Semua harga barang keperluan naik. Minyak naik. Rakyat terutamanya yang bekerja sendiri hidup susah.

“Kalau BN datang kempen nak tabur duit kita boleh ambil. Itupun sebenarnya datang dari duit rakyat. Bila tiba saat mengundi nanti, kita kena guna akal dan fikir baik-baik,” nasihat Chua.

KELANTAN JADI IDAMAN UMNO KERANA MINYAK


KELANTAN JADI IDAMAN UMNO KERANA MINYAK

KOTA BHARU : Dengan simpanan berjumlah 13 trilion kaki padu gas dan minyak di Kawasan Pembangunan Bersama (JDA), adalah tidak menghairankan apabila Kelantan menjadi negeri yang begitu diidam-idamkan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa (gambar) dalam siri taklimat harian pilihan raya umum di sebuah pusat media di sini memberitahu, mengikut kajian yang dijalankan para pegawai kerajaan negeri dan maklumat yang disampaikan pegawai Petronas, negeri Kelantan kaya dengan sumber gas dan minyak.

“Simpanan gas dan minyak yang mencecah 13 trilion kaki padu ini boleh mengeluarkan (hasil) untuk tujuh generasi.

“Saya percaya itulah hasrat tersirat pemimpin-pemimpin Umno negeri Kelantan untuk merampas negeri ini,” katanya.

Menurut Husam, sumber tersebut boleh diusahakan untuk menampung keperluan negara seluruhnya bagi mengekalkan harga minyak dan gas pada harga yang tidak membebankan rakyat.

Penemuan gas di luar pesisir pantai Kelantan telah bermula pada November 2003.

CS Mutiara Petroleum Company Sdn. Bhd., syarikat usaha sama antara Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Shell Malaysia Exploration & Production, telah berjaya membuat lima penemuan telaga gas di Blok PM 301, 140 km dari Kota Bharu dari 5 November 2003 hingga 28 Mei 2005.

Menurut Husam kerajaan Kelantan telah meluluskan projek pembinaan pusat bekalan dan terminal simpanan minyak di Kuala Besar (15 km dari Kota Bharu) bagi membolehkan pendaratan dan pengeluaran gas dimulakan.

“Kuala Besar Supply Base (KPSB) disediakan untuk aktiviti eksplorasi di JDA. Pusat ini dan terminal simpanan minyak APKB Resources diusahakan oleh syarikat bumiputra anak Kelantan,” katanya lagi.

Tambahnya, aktiviti pendaratan dan pengeluaran gas nanti akan membolehkan Kelantan mendapat royalti dan ini akan meningkatkan hasil dan menggerakkan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan negeri akan gunakan hasil yang diperolehi untuk meningkatkan sistem penyampaian dan kebajikan rakyat termasuk menurunkan harga gas memasak,” jelas Husam.

BELANJA JANGAN SAMPAI BOROS, BERJIMAT JANGAN SAMPAI KEDEKUT





“Belanja jangan sampai boros, berjimat tapi jangan kedekut”


KOTA BHARU : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa berceramah di Kg Mukim Jambu dekat sini memberitahu beliau mentadbir kewangan negeri Kelantan atas dasar kerajaan yang berjimat cermat tetapi tidak kedekut.


“Saya beri arahan kepada pegawai-pegawai, duit yang ada dalam simpanan kerajaan hendaklah dibelanjakan untuk apa-apa projek bagi kepentingan rakyat tetapi jangan boros dan melampau. Dalam masa yang sama bila kita berjimat cermat, jangan pula kita menjadi terlalu kedekut,” kata Nik Aziz.


Beliau juga menjelaskan sekiranya ada lagi baki peruntukan yang disediakan untuk mana-mana program, beliau telah mengarahkan baki tersebut disimpan dan di bawa ke tahun hadapan dan tidak dihabiskan semata-mata kerana peruntukan telah diluluskan.


Semasa berceramah, Nik Aziz menyatakan pensyarah ekonominya semasa belajar di Universiti Al-Azhar , Mesir telah berpesan agar duit tidak disimpan dalam satu bank bagi mengelakkan risiko sekiranya bank itu mengalami masalah.


“Seumpama telur yang banyak kita jangan simpan dalam satu bakul sahaja . Takut jatuh pecah semua.
“Tetapi saya ketika mula-muka mentadbir negeri telah meminta pegawai kewangan memindahkan semua wang kerajaan Kelantan yang disimpan dalam pelbagai bank konvensional ketika itu dimasukkan ke dalam Bank Islam, satu bank sahaja,” katanya.


Nik Aziz memberitahu risiko terpaksa diambil kerana pada ketika itu hanya Bank Islam sahaja yang menjalankan perbankan tanpa riba. Tetapi kesan daripada tindakannya telah mencetuskan kewujudan alternatif urusan perbankan syariah di bank-bank konvensional.


Mursyidul Am Pas yang bertanding kerusi Dun Chempaka pada pilihan raya umum kali ini telah berceramah bersama peguam peneroka Felda Kemahang 3, Wan Rohimi Wan Daud yang telah bercerita kepada hadirin tentang kezaliman yang dilakukan Felda terhadap penerokanya sendiri dan bagaimana 354 peneroka yang dibelanya dalam kes ‘RM7.8 juta' hampir kesemuanya telah beramai-ramai menjadi ahli Pas baru-baru ini.


Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam satu program berasingan, memberitahu dengan simpanan pelaburan di Bank CIMB menghampiri RM80 juta dan jangkaan pendapatan dari ladang yang diserah kembali Felcra sejumlah RM 24 juta setahun serta hutang tertunggak yang kedua terendah kepada kerajaan persekutuan membuktikan kerajaan Pas telah mempersiapkan Kelantan untuk diperintah dalam jangka masa panjang.


“Kalau kita rasa nak kalah, nescaya kita akan belanjakan duit-duit ini habis-habisan,” katanya.
Kelantan berada pada tangga kedua di kalangan negeri-negeri dalam Malaysia yang berjaya melunaskan hutang tertunggak mereka kepada kerajaan persekutuan. Tempat pertama adalah kerajaan negeri Sarawak.

MAKI NIK AZIZ JADI BAHAN KEMPEN UMNO


Maki Nik Aziz jadi bahan kempen Umno

KOTA BHARU : Jika strategi Pas dan pembangkang mendedahkan kepada rakyat kerosakan yang dilakukan kerajaan dikatakan ‘mengumpat’ oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), adakah kempen yang dilakukan BN lebih baik dan berlandaskan tamadun Islam sebagaimana dilaungkan Timbalan Perdana Menteri?

Tinjauan yang dibuat ke atas salah sebuah majlis perjumpaan dengan calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Bharu (Datuk Fatmi Salleh) dan Dun Bunut Payung (Rosmadi Ismail) dekat sini mendapati modal utama yang digunakan mereka adalah cacian terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis yang diadakan di kediaman penghulu pembangunan mukim di Kg Puteh telah memanggil seorang penceramah jemputan yang dikenali dengan nama Ustazah Norhayati untuk berucap selepas kedua-dua calon BN itu.

‘Ustazah Norhayati’ yang mengaku dirinya bekas seorang aktivis Pas telah mengambil peluang menyampaikan ceramah agamanya dengan memaki Nik Aziz.

“Kalau hendak dibandingkan dengan air sembahyang hajat Nik Aziz, air yang digunakan oleh tok cha (sami Buddha) adalah lebih baik lagi.

“Tok Guru ini sebenarnya mengambil duit derma yang diserah ahli Pas untuk puak-puak dia,” dakwa ‘ustazah’ tersebut.

Dia juga membuat perbandingan Nik Aziz umpama seorang pemandu lori yang membawa penumpang di belakang. Jika berlaku kemalangan, pemandu terselamat dan yang akan ditimpa musibah adalah pengikut di belakang.

Apa yang melucukan adalah tindakan Umno memanggil ustazah tersebut membawa padah kerana hadirin yang memenuhi ruang di rumah penghulu itu rata-ratanya terkejut dan marah dengan fitnah yang dilemparkan kepada Tuan Guru.

Ramai hadirin memberi komen Ustazah jenis apa yang dibawa Umno itu dan ada yang menjerit ‘ Bo lah’ (sudahlah) kerana tidak tahan mendengar dakwaan yang dibuat.

Jika ada yang pada mulanya berfikir hendak menjadi ‘biru’, akhirnya lebih seratus yang hadir pulang dengan rasa ‘kehijauan’.

ULAMA' HADHARI BERTEPUK TANGAN BINA MASJID


Ulama’ Hadhari bertepuk tangan bina masjid… Gambar menunjukkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan batu asas pembinaan Masjid Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Tumpat, Kelantan pada 2 Mac. Kelihatan di sebelah kiri gambar, calon Parlimen Tumpat, Dr Asyraf Wajdi cendikiawan Hadhari dari Umno yang turut bertepuk tangan tanda mulanya pembinaan masjid tersebut.

TAKBIR DI MASJID TELIPOT

Gambar Suasana Dalam Masjid Telipot diambil dari raykinzoku.fotopages.com

KOTA BHARU : Kalimah ‘Allahu Akbar’ bergema di Masjid Telipot selepas sebahagian jamaah yang menunaikan solat Jumaat di sini baru-baru ini mengadakan solat hajat bagi mengekalkan kerajaan Islam Kelantan.

Solat hajat yang diadakan sempena hari mengundi pada 8 Mac telah disertai lebih 200 muslimin yang mahu melihat kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat kekal dan tidak beralih tangan kepada Barisan Nasional (BN).

Pas telah berjaya menguasai negeri ini sejak pilihan raya umum pada tahun 1990 dan kini memegang pentadbitran dengan kelebihan satu kerusi dewan undangan negeri, 23 (Pas) dan 22 (Umno).

Pada penamaan calon yang diadakan 24 Februari lalu, Pas telah menang satu kerusi Dun tanpa bertanding.

Jamaah di Masjid Telipot tanpa rasa takut telah bertakbir walaupun tindakan itu sering dimomokkan dengan amalan pelampau.

Kalimah ‘Allahu Akbar’ tidak sepatutnya digeruni bahkan ia adalah manifestasi aqidah umat Islam.

KUASA ALLAH ATASI KEBIJAKAN MANUSIA : NIK AZIZ












KOTA BHARU : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat Kelantan bahawa tiada kuasa yang dapat mengatasi Allah hatta perancangan bijak yang dilaksanakan manusia.

“Sejarah telah mencatatkan Abrahah dengan bala tentera bergajah telah cuba memusnahkan Ka'bah dan Kota Makkah.
"Namun mereka hancur akibat serangan burung Ababil yang diutuskan Allah bagi membantu penduduk yang tiada kekuatan,” katanya dalam amanat selepas mengetuai solat Subuh berjamaah di padang Stadium Sultan Muhammad ke IV baru-baru ini.
Beliau merujuk kepada perancangan Barisan Nasional (BN) yang mahu merampas Kelantan dengan pelbagai tawaran mega menambat hati rakyat.
Pada pagi 7 Mac itu, lebih 10 ribu pendokong dan penyokong Pas telah bermunajat di padang stadium tersebut seawal jam 3.30 pagi.

Munajat mempertahankan kerajaan Kelantan itu dimulakan dengan solat Tahajud yang diimamkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Hussin Ibrahim Masri.

Kemudiannya bekas Ketua Pengelola Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Mohamad Mustapha yang bertanding di kerusi Dun Demit telah mengimamkan solat hajat.

Dalam doa panjang yang berjaya menggamit deraian air mata dari semua yang hadir, Ustaz Mohamad telah menyebut nama-nama pemimpin Umno Kelantan seperti Datuk Seri Annuar Musa dan Datuk Dr Awang Adek bagi memohon kekuatan daripada Allah berhadapan dengan pihak mereka ini yang semakin sombong dan sanggup melakukan apa sahaja bagi menguburkan Islam yang disemai kerajaan Pas Kelantan sejak 18 tahun lalu.

Apabila Menteri Besar pula berdoa di akhir amanatnya, sekali lagi hujan air mata membasahi pipi setiap hadirin.

Rakyat Kelantan sememangnya tidak pernah lari dari doa dan solat hajat memohon bantuan dari Allah. Apabila ia berkaitan memilih pemimpin yang akan mentadbir negeri dan negara, rutin itu menjadi perkara wajib yang mesti dilakukan.