Tuesday, March 25, 2008

ARTIKEL PILIHAN STELLA - ANTILOMPAT?

Dr Shamrahayu A.Aziz

Antilompat, antijual beli?
24 MAC 2008 UTUSAN MALAYSIA
Oleh NORAINI ABD. RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)



PERKEMBANGAN terbaru politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan munculnya pelbagai episod yang mencabar keupayaan minda rakyat di negara ini untuk berfikir secara lebih matang dan bijak.
Ini termasuk timbulnya cadangan supaya digubal satu undang-undang untuk menyekat wakil rakyat daripada melompat parti.
Cadangan yang datang daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim itu didorong oleh kebimbangan tentang kecenderungan pembangkang - dalam hal ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) - yang dikatakan berusaha memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat ke parti tersebut.
Inisiatif yang didakwa diterajui oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi melunaskan cita-cita pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan yang tidak kesampaian biarpun prestasi mereka dalam pilihan raya lalu ternyata mengejutkan semua.
Anwar sendiri menjaja hasratnya itu apabila beliau menzahirkan kesediaan untuk menubuhkan kerajaan sekiranya PKR berjaya mendapat tambahan 30 kerusi.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Prof. Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Shamrahayu A. Aziz melihat kenyataan Anwar itu amat berkait rapat dengan usaha untuk memujuk wakil rakyat BN supaya melompat parti.
Apa yang dimaksudkan oleh Anwar ialah perolehan kerusi tersebut boleh berlaku sekiranya Ahli-Ahli Dewan Rakyat BN melompat parti - atas apa alasan jua.
Inilah antara faktor yang dibimbangi oleh pimpinan tertinggi BN,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Sememangnya, menurut Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan itu, lompat parti adalah sesuatu yang ditakuti oleh semua parti politik, lebih-lebih lagi parti politik yang memerintah dengan majoriti yang sedikit.
Ini kerana katanya, lompat parti adalah berpaling tadah - mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan tersebut bertukar arah dan lebih parah lagi, menentang parti asal.

Menurut beliau, sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.
“Akibatnya ialah, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya akan mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di dalam Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri,’’ katanya.
Beliau menyifatkan tindakan melompat parti setelah memenangi pilihan raya bukan sesuatu yang sihat dan patut disokong. Ini kerana seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat. Katanya, walaupun mungkin Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia merupakan satu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat dan satu perbuatan tidak bermaruah.

Dr. Shamrahayu menarik perhatian mengenai cadangan agar digubal undang-undang antilompat parti seperti yang dicadangkan oleh Zaid bagi menyekat Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri daripada bertukar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.
Sebelum mengupas lanjut, beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1993 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan dan lain-lain lwn Nordin bin Salleh dan lain-lain.
Dalam kes tersebut, Nordin dan rakannya telah memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihan raya umum yang diadakan pada Oktober 1990 menerusi parti Semangat 46.
Mereka seterusnya telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan. Setelah itu mereka telah “lompat parti” dengan meninggalkan Semangat 46 dan menyertai UMNO. Perlembagaan Negeri Kelantan telah dipinda pada April 1992.
Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan bahawa, sekiranya seorang Ahli Dewan Negeri meninggalkan parti atau dipecat dari parti, atau atas apa-apa sebab tidak lagi menjadi ahli parti tersebut, maka kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya akan menjadi kosong.
Kuasa
Dan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan mengenai kekosongan kerusi tersebut.
Dengan itu, kerusi yang diwakili Nordin telah diisytiharkan kosong oleh Dewan Undangan Negeri. Pindaan kepada Perlembagaan Negeri Kelantan telah dicabar oleh Nordin atas alasan ia bertentangan dengan hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Hujah tersebut telah diterima oleh Mahkamah Agung dengan sebulat suara dan mahkamah memutuskan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Kelantan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan berpersatuan.
Menurut Dr. Shamrahayu, satu isu lain yang timbul ialah apakah sekatan terhadap hak kebebasan berpersatuan ini boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri. Seperti yang disebut di dalam Perkara 10(2)(c), hanya Parlimen yang boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Maka semestinya sekiranya sekatan tersebut dibuat oleh badan perundangan yang lain daripada Parlimen, dalam kes Nordin ini, Badan Perundangan Negeri, maka undang-undang tersebut boleh dikatakan tidak sah hanya kerana badan perundangan tersebut telah bertindak di luar bidang kuasa.

Ditanya adakah Parlimen boleh menggubal apa yang disebut “anti-hopping law”, Dr. Shamrahayu meninjau Perlembagaan menerusi Perkara 10(2)(c) yang menetapkan tujuan bagi menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Antaranya ialah untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau kepentingan ketenteraman awam atau kepentingan moral.
Maka persoalan yang lahir ialah, adakah Parlimen boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan hanya kerana kepentingan politik, yang tidak termasuk dalam alasan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
Justeru, berasaskan kepada keputusan mahkamah dalam kes Nordin, Dr. Shamrahayu berpendapat, kedudukan undang-undang bagi menyekat hak kebebasan berpersatuan agak jelas.
‘‘Saya tidak menolak kemungkinan, sekiranya undang-undang tersebut digubal, ia akan mengalami nasib yang sama seperti yang telah dialami oleh Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan,’’ katanya.

Menurut beliau, adalah lebih bermanfaat bagi para pemimpin politik atau menteri-menteri memikirkan untuk memulihkan imej parti daripada memikirkan bagaimana untuk menyekat para ahli yang secara sukarela ingin meninggalkan parti politik mereka atas apa alasan jua, asalkan mereka tidak dibeli oleh parti politik yang lain.
Katanya, mungkin undang-undang menyekat jual beli kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri boleh dibincangkan lagi, tetapi bukan undang-undang menyekat lompat parti.
‘’Walau apa pun, undang-undang bukanlah jalan terbaik yang boleh menyekat pertukaran parti,’’ katanya.

No comments: