Monday, March 17, 2008

TUNGGU NIK AZIZ DI STADIUM SHAH ALAM!


Nik Aziz sedang menyampaikan ceramah di malam meraikan kemenangan Pas di Kelantan

KOTA BHARU : Kemenangan pakatan Barisan Alternatif (BA) di lima negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu membawa kepada terbukanya peluang kepada banyak perkara. Antaranya yang mungkin tidak terlintas di pemikiran ramai sebelum ini adalah mendengar ceramah dari Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di bangunan gergasi binaan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil.


Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ketika berucap di majlis ceramah sempena kemenangan kerajaan Islam Kelantan baru-baru ini berkata kini tiada sekatan lagi bagi pimpinan seperti Nik Aziz untuk mengadakan ceramah di negeri seperti Selangor kerana ia sudah jatuh ke tangan BA atau gelaran yang lebih tepat Barisan Rakyat.


“Dulu apabila Tuan Guru Nik Aziz hendak berceramah di Selangor, beliau telah dihalang dengan cara yang tidak sepatutnya. Hari ini kesemua pintu masjid di Selangor telah terbuka buat kita semua.
“Akan tiba masanya nanti juga kita dapat mendengar ceramah Nik Aziz di Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil,” katanya sambil disambut sorakan ribuan hadirin yang memenuhi ruang dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV.


Husam menyifatkan kemengan BA di lima buah negeri iaitu Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebagai satu kurniaan dari Allah dan semua pihak tidak harus leka.
“Kita patut ambil momentum dari kemenangan ini untuk membina kekuatan agar mencapai kejayaan pada pilihan raya umum yang ke 13 pula,” katanya.


Beliau juga bangga dengan perkembangan dalam negara di mana bukan sahaja rakyat yang bangkit melakukan perubahan bahkan institusi raja juga telah memainkan peranan untuk membetulkan kepincangan dalam negara.


Untuk rekod, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah menjadi perantara yang cemerlang dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam pembentukan kerajaan campuran di Perak. Manakala Sultan Kedah pula tanpa berlengah menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar. Dan yang paling mengejutkan, di negeri yang dimenangi BN, Raja Perlis telah menolak pelantikan semula Datuk Seri Sahahidan Kassim sebagai Menteri Besar sebaliknya mengurniakan warkah pelantikan kepada Datuk Dr Isa Md Sabu, bekas exco kerajaan negeri yang diketepikan pada 2004.



No comments: