Antara Pusat dan negeri
22 Mac 2008 UTUSAN MALAYSIA
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)
APABILA Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke tangan pembangkang, maka timbul persoalan adakah hubungan kerajaan di kelima-lima negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan akan terputus.
Adakah antara kerajaan negeri dan Pusat akan berkerat rotan, berpatah arang – semata-mata kerana jurang yang amat melebar di antara kedua-duanya?
Perlukah kesemua negeri yang rakyatnya memilih untuk bernaung di bawah pentadbiran parti pembangkang (kini bergelar pemerintah) ‘dihukum’ dengan cara tidak ‘dihubungkan’ kepada Pusat lantaran membuat keputusan seumpama itu?
Sememangnya menarik untuk disorot hasil pilihan raya yang berlangsung pada 8 Mac lalu apabila angka satu bertambah menjadi lima – semestinya ia membawa dimensi baru dalam konsep federalisme yang selama ini menjadi teras pemerintahan di Malaysia.
Biarpun bukan perkembangan terbaru kerana Kelantan telah pun diperintah oleh Pas selama 18 tahun, manakala Terengganu pernah juga ditadbir oleh parti yang sama biarpun hanya untuk tempoh lima tahun.
Namun perancangan ekonomi yang melibatkan sumber kewangan Kerajaan Persekutuan di negeri-negeri berkenaan terutamanya projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyebabkan isu federalisme ini berbangkit semula.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Shamrahayu A. Aziz ketika diajak memperkatakan perihal tersebut berkata, konsep federalisme umumnya melibatkan pemerintahan dua peringkat iaitu Persekutuan dan negeri.
Walaupun begitu, katanya, konsep federalisme tidak terikat atau terhad kepada satu jenis pemerintahan federalisme sahaja.
Pun begitu, federalisme mempunyai beberapa prinsip asas.
Antara dua prinsip asas tersebut ialah Kerajaan Persekutuan memberi kuasa autonomi kepada negeri-negeri dan memberi layanan sama rata antara negeri-negeri yang membentuk Persekutuan.
Maksudnya, dalam konsep negara persekutuan hendaklah wujud dasar tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri mengenai perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ini dapat dilihat dalam peruntukan Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
‘’Perkara dasar dalam federalisme juga bahawa setiap negeri harus diberi layanan yang sama rata,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun perkara dasar ini tidak dimasukkan secara jelas di dalam Perlembagaan, menurut penolong profesor itu, ia merupakan amalan dan prinsip asas konsep federalisme.
Ini kerana federalisme bukan hanya berkaitan pembahagian kuasa antara dua peringkat kerajaan, tetapi ia melibatkan bagaimana pelaksanaan pentadbiran itu sendiri.
Ditanya mengenai asas kewujudan konsep federalisme itu, katanya, ia adalah didorong oleh faktor sejarah dan terdapat dua tujuan asal pembentukan negara Persekutuan.
Pertama, bagi tujuan membantu negeri-negeri yang miskin dengan cara negeri yang lebih kaya menyumbang kepada negeri yang miskin.
Keduanya ialah bagi menjamin keselamatan negeri-negeri yang menyertai Persekutuan (The main purpose in setting up a federal type of goverment is to help the states that are economically and/or militarily weak).
Menonjol
Menurut Dr. Shamrahayu, mungkin sebelum ini dimensi pemerintahan federalisme tidak begitu menonjol kerana hanya satu atau dua negeri sahaja yang diperintah oleh parti politik berbeza dengan Kerajaan Pusat.
‘‘Mungkin hanya pemerintah negeri Kelantan yang mengetahui dasar sebenar Kerajaan Pusat terhadap negeri tersebut yang diperintah oleh kerajaan berlainan politik, yang selalu dirujuk sebagai kerajaan pembangkang,’’ katanya.
Katanya lagi, isu federalisme tidak penting di negeri-negeri lain kerana mereka diperintah oleh parti politik yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau memberi contoh dalam kes Kerajaan Malaysia lawan kerajaan Negeri Kelantan dalam tahun 1968, yang mana kerajaan Persekutuan telah mencabar cara bagaimana kerajaan Kelantan pada masa itu.
Walaupun keputusan mahkamah menyebelahi kerajaan Kelantan, fokus di sini bukan bertujuan untuk menunjukkan siapa yang menang dan siapa yang kalah, tetapi apa yang jelas ialah, Kerajaan Persekutuan telah meletakkan tekanan ke atas kerajaan negeri dalam hal membuat pinjaman bagi meningkatkan pendapatan negeri.
Seperti yang dimaklumi, selepas keputusan kes tersebut, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi memperjelaskan kuasa negeri-negeri untuk membuat pinjaman kewangan.
‘’Melihat kepada senario sekarang, setelah terdapat lima negeri yang diperintah oleh kerajaan yang berbeza parti politik dengan kerajaan pusat, maka satu dimensi baru harus diberikan dalam konteks pemerintahan federalisme,’’ katanya.
Katanya, mungkin tindakan memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan negeri bukan lagi satu metod yang terbaik dan berkesan – sebagai bukti, Kelantan kekal di bawah kerajaan pembangkang walau apa cara sekalipun yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.
Dalam dimensi ini, menurut pemerhatian beliau, pihak Kerajaan Pusat tidak sepatutnya memberi layanan berbeza atau tekanan kepada negeri-negeri tersebut.
“Jangan dianaktirikan negeri-negeri berkenaan,’’ katanya.
Ini kerana, ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip asas sebuah negara Persekutuan bahkan juga tidak akan memberi implikasi positif terhadap reputasi Kerajaan Pusat.
Dalam kata lain, bagi tujuan politik, ia tidak akan memihak kepada Kerajaan Pusat dan ia mungkin boleh dijadikan isu politik pihak pembangkang. Mungkin emosi yang membelenggu para pemimpin BN di Pulau Pinang telah mendorong mereka mengusulkan kepada Perdana Menteri agar menarik balik peruntukan projek mega di negeri itu.
Namun kenyataan Perdana Menteri untuk meneruskan projek-projek yang telah diluluskan oleh BN memperlihatkan tindakan positif.
Ia tidak dianggap sebagai dendam politik BN kepada parti pembangkang umumnya dan rakyat khasnya. Mungkin ini boleh dilihat sebagai cara terbaik untuk Kerajaan Pusat.
THE WELCOME PAGE / MUKADDIMAH
14 years ago
No comments:
Post a Comment