Friday, March 7, 2008

BELANJA JANGAN SAMPAI BOROS, BERJIMAT JANGAN SAMPAI KEDEKUT





“Belanja jangan sampai boros, berjimat tapi jangan kedekut”


KOTA BHARU : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa berceramah di Kg Mukim Jambu dekat sini memberitahu beliau mentadbir kewangan negeri Kelantan atas dasar kerajaan yang berjimat cermat tetapi tidak kedekut.


“Saya beri arahan kepada pegawai-pegawai, duit yang ada dalam simpanan kerajaan hendaklah dibelanjakan untuk apa-apa projek bagi kepentingan rakyat tetapi jangan boros dan melampau. Dalam masa yang sama bila kita berjimat cermat, jangan pula kita menjadi terlalu kedekut,” kata Nik Aziz.


Beliau juga menjelaskan sekiranya ada lagi baki peruntukan yang disediakan untuk mana-mana program, beliau telah mengarahkan baki tersebut disimpan dan di bawa ke tahun hadapan dan tidak dihabiskan semata-mata kerana peruntukan telah diluluskan.


Semasa berceramah, Nik Aziz menyatakan pensyarah ekonominya semasa belajar di Universiti Al-Azhar , Mesir telah berpesan agar duit tidak disimpan dalam satu bank bagi mengelakkan risiko sekiranya bank itu mengalami masalah.


“Seumpama telur yang banyak kita jangan simpan dalam satu bakul sahaja . Takut jatuh pecah semua.
“Tetapi saya ketika mula-muka mentadbir negeri telah meminta pegawai kewangan memindahkan semua wang kerajaan Kelantan yang disimpan dalam pelbagai bank konvensional ketika itu dimasukkan ke dalam Bank Islam, satu bank sahaja,” katanya.


Nik Aziz memberitahu risiko terpaksa diambil kerana pada ketika itu hanya Bank Islam sahaja yang menjalankan perbankan tanpa riba. Tetapi kesan daripada tindakannya telah mencetuskan kewujudan alternatif urusan perbankan syariah di bank-bank konvensional.


Mursyidul Am Pas yang bertanding kerusi Dun Chempaka pada pilihan raya umum kali ini telah berceramah bersama peguam peneroka Felda Kemahang 3, Wan Rohimi Wan Daud yang telah bercerita kepada hadirin tentang kezaliman yang dilakukan Felda terhadap penerokanya sendiri dan bagaimana 354 peneroka yang dibelanya dalam kes ‘RM7.8 juta' hampir kesemuanya telah beramai-ramai menjadi ahli Pas baru-baru ini.


Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam satu program berasingan, memberitahu dengan simpanan pelaburan di Bank CIMB menghampiri RM80 juta dan jangkaan pendapatan dari ladang yang diserah kembali Felcra sejumlah RM 24 juta setahun serta hutang tertunggak yang kedua terendah kepada kerajaan persekutuan membuktikan kerajaan Pas telah mempersiapkan Kelantan untuk diperintah dalam jangka masa panjang.


“Kalau kita rasa nak kalah, nescaya kita akan belanjakan duit-duit ini habis-habisan,” katanya.
Kelantan berada pada tangga kedua di kalangan negeri-negeri dalam Malaysia yang berjaya melunaskan hutang tertunggak mereka kepada kerajaan persekutuan. Tempat pertama adalah kerajaan negeri Sarawak.

No comments: