Friday, March 7, 2008

POS KG CINA TETAP MILIK PAS

Keratan akhbar Utusan Malaysia "Kaum Cina ganti pos Pas kepada BN" yang disarkan pada 28 Februari 2008


Pos Pas di Kg Cina yang dikatakan telah ‘jatuh’ ke tangan BN. Masih penuh dengan gambar Tok Guru.
Chua Ian Hui , Ketua Pos Kg Cina

POS KG CINA TETAP MILIK PAS

KOTA BHARU : ‘Kaum Cina ganti pos Pas kepada BN’. Begitulah tajuk berita yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 28 Februari lalu apabila melaporkan tentang masyarakat Cina yang membuka sebuah pos Pas di Kg Cina di bawah peti undi Penambang telah menurunkan lambang dan bendera Pas di situ dan menggantikannya kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam laporan tersebut dinyatakan calon BN bagi Parlimen Pengkalan Chepa, Ir Rahim Mohd Zain telah datang ke pos yang terletak berhampiran Tokong Mek bagi menyerahkan vest dan bendera BN kepada 100 penyokong yang sudah beralih kepada BN akibat tidak puas hati.

Kumpulan itu diketuai seorang lelaki Cina bernama Tan Peng Soon, 52 tahun.

Tinjauan yang dibuat ke pos terbabit mendapati ia tetap menjadi milik Pas dan apabila ditanya kepada mereka yang mengawal pos tersebut mereka memberitahu apa yang tersiar di akhbar Utusan itu adalah ‘lakonan’ semata-mata.

Ketua pos Kg Cina, Sdr Chua Ian Hui, 38 yang ditemui berkata kejadian ‘pengambilalihan’ itu berlaku di siang hari ketika kesemua orang yang bertanggungjawab menjaga pos itu pergi bekerja.

“Kami penyokong Pas sudah membuka pos ini sehari sebelum penamaan calon. Ini memang sudah jadi tempat kami berkumpul sejak awal lagi

“Lelaki bernama Tan Peng Soon yang dikatakan mengetuai kumpulan orang yang berpaling tadah itu bukannya penyokong Pas pun. Dia hanyalah seorang peniaga kedai makan yang tidak puas hati tidak diberi lesen berniaga minuman keras,” kata Chua.

Menurutnya kedai makan Tan terletak di sebelah pos Pas dan dia mungkin telah dipengaruhi oleh sesetengah pihak untuk bertindak sedemikian.

“Majoriti orang Cina di sini menyokong Pas sejak sekian lama. Hanya sebilangan kecil sahaja yang masih dengan MCA. Bilangan 100 orang yang didakwa menyokong itu adalah satu pembohongan,” kata Chua lagi.

Tambahnya wartawan yang datang membuat laporan insiden tersebut mungkin telah silap faham dengan apa yang sebenarnya telah terjadi.

“Orang Cina di sini tahu tentang masalah yang berlaku dalam negara kita. Semua harga barang keperluan naik. Minyak naik. Rakyat terutamanya yang bekerja sendiri hidup susah.

“Kalau BN datang kempen nak tabur duit kita boleh ambil. Itupun sebenarnya datang dari duit rakyat. Bila tiba saat mengundi nanti, kita kena guna akal dan fikir baik-baik,” nasihat Chua.

No comments: