KELANTAN JADI IDAMAN UMNO KERANA MINYAK
KOTA BHARU : Dengan simpanan berjumlah 13 trilion kaki padu gas dan minyak di Kawasan Pembangunan Bersama (JDA), adalah tidak menghairankan apabila Kelantan menjadi negeri yang begitu diidam-idamkan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa (gambar) dalam siri taklimat harian pilihan raya umum di sebuah pusat media di sini memberitahu, mengikut kajian yang dijalankan para pegawai kerajaan negeri dan maklumat yang disampaikan pegawai Petronas, negeri Kelantan kaya dengan sumber gas dan minyak.
“Simpanan gas dan minyak yang mencecah 13 trilion kaki padu ini boleh mengeluarkan (hasil) untuk tujuh generasi.
“Saya percaya itulah hasrat tersirat pemimpin-pemimpin Umno negeri Kelantan untuk merampas negeri ini,” katanya.
Menurut Husam, sumber tersebut boleh diusahakan untuk menampung keperluan negara seluruhnya bagi mengekalkan harga minyak dan gas pada harga yang tidak membebankan rakyat.
Penemuan gas di luar pesisir pantai Kelantan telah bermula pada November 2003.
CS Mutiara Petroleum Company Sdn. Bhd., syarikat usaha sama antara Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Shell Malaysia Exploration & Production, telah berjaya membuat lima penemuan telaga gas di Blok PM 301, 140 km dari Kota Bharu dari 5 November 2003 hingga 28 Mei 2005.
Menurut Husam kerajaan Kelantan telah meluluskan projek pembinaan pusat bekalan dan terminal simpanan minyak di Kuala Besar (15 km dari Kota Bharu) bagi membolehkan pendaratan dan pengeluaran gas dimulakan.
“Kuala Besar Supply Base (KPSB) disediakan untuk aktiviti eksplorasi di JDA. Pusat ini dan terminal simpanan minyak APKB Resources diusahakan oleh syarikat bumiputra anak Kelantan,” katanya lagi.
Tambahnya, aktiviti pendaratan dan pengeluaran gas nanti akan membolehkan Kelantan mendapat royalti dan ini akan meningkatkan hasil dan menggerakkan ekonomi negeri ini.
“Kerajaan negeri akan gunakan hasil yang diperolehi untuk meningkatkan sistem penyampaian dan kebajikan rakyat termasuk menurunkan harga gas memasak,” jelas Husam.
No comments:
Post a Comment